Pekan lama Chenor di Maran yang masih didiami penduduk walaupun kini semakin sepi.

Pekan lama Chenor macam pekan ‘mati’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MARAN – Sekitar tahun 1950-an hingga 1970-an, pekan Chenor yang terletak di pinggir Sungai Pahang cukup terkenal sebagai pusat perdagangan, kebudayaan, kepahlawanan dan perkemba­ngan agama Islam di nusantara.

Kedudukannya yang strategik di laluan sungai antara Pekan dan Lipis menjadikan pekan lama ini sebagai pusat persinggahan pedagang dan pendakwah bagi mengembangkan ajaran Islam di Pahang.

Malah, penemuan pelbagai artifak seperti makam ulama, makam pahlawan serta peninggalan seni budaya Melayu membuktikan pekan Chenor sebagai sebuah destinasi penting.
Bagaimanapun, peredaran zaman selain pembangunan pesat di kawasan sekitar menjadikan pekan Chenor semakin lenyap dan hanya tinggal bangunan kayu lama yang sudah uzur dan hampir roboh.

Seorang penduduk Kampung Pesagi, Hussain Jaafar, 85, berkata, dia masih ingat kemeriahan pekan Chenor sebagai pusat perniagaan pada zaman dahulu.

“Saya banyak habiskan masa di pekan ini sekitar tahun 1950-an hingga 1970-an dan dapat menyaksikan puluhan bot penambang, perahu jalur dan perahu golek singgah di jeti membawa penumpang dan hasil-hasil tanaman dari kampung berdekatan.

“Terdapat kira-kira 15 kedai papan beroperasi di sini terma­suk peniaga Cina yang berpe­ranan sebagai peraih getah keping. Hasil jualan getah oleh penduduk digunakan untuk membeli makanan beras, gula, tepung dan garam,” katanya.

Tambah beliau, pekan Chenor ketika itu turut dilengkapi pelbagai kemudahan selain menjadi lokasi penduduk mendapatkan barang keperluan.

Seorang lagi penduduk pekan Chenor, Tengku Hasani Tengku Ahmad, 60, berkata, pekan itu sangat meriah sekitar tahun 1960-an hingga 1973 kerana Almarhum Sultan Abu Bakar iaitu Sultan Pahang keempat menjadikan pekan Chenor sebagai destinasi wajib sempena hari ulang tahun keputeraan baginda.

“Saya dapat menyaksikan pekan Chenor meriah dengan akti­viti kebudayaan dan kesenian bagi memuliakan keberangkatan baginda dengan permainan tradisi seperti tingkah lesung, silat, dikir rebana, nyanyian lagu rakyat dan mengemping.

“Ayah saya sebagai pengusaha bot penambang pada masa itu tidak menang tangan mengambil penumpang dari kampung seberang,” katanya.

Selain itu, kemeriahan pekan Chenor juga sangat sinonim pada hari Khamis sebagai pekan sehari di mana penduduk dari kampung berdekatan termasuk dari seberang Sungai Pahang datang untuk berniaga dan membeli barang keperluan.

Menurutnya, ada peniaga dan penduduk sanggup tidur dalam perahu atau bot pada setiap hari Rabu sebelum pekan sehari bagi menjual hasil pertanian, kuih muih dan sebagainya.

“Namun kini, kemega­han dan kemeriahan pekan lama Chenor semakin hilang untuk dikenang generasi muda,” katanya.

Seorang lagi penduduk pekan lama Chenor, Che Wan Ahmad Nizam Ahmad Tajuddin, 42, berkata, berdasarkan rekod keluarga turun temurun, pekan itu telah wujud lebih awal dari ­Kesultanan Melayu Melaka.

“Pada era tahun 1880-an, pekan lama Chenor muncul sebagai pusat perdagangan darat penting ketika itu berikutan penjajah Inggeris menjadikan pekan ini pusat persinggahan membawa hasil mahsul menggunakan kapal dan tongkang ke Pekan dan seterus­nya dibawa ke Singapura,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN