GUA MUSANG – Lebih 400 pekebun durian di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah di sini menanggung kerugian apabila terpaksa berebut buah dengan tupai, beruk, kera dan lotong yang sering merosakkan buah-buahan yang hampir masak.
Seorang pekebun, Mohd. Johan Awang Kecik, 55, berkata, haiwan perosak terlalu banyak dan telah merosakkan buah-buahan sehingga hasil pendapatan kebun penduduk merosot melebihi 70 peratus sejak tiga tahun kebelakangan ini.
Katanya, pokok durian dan petai yang ditanam mereka sudah membuahkan hasil sejak dua bulan lalu, namun dirosakkan oleh haiwan perosak itu.
“Saya terpaksa mengupah beberapa penduduk Orang Asli untuk datang menyumpit tupai daripada terus mengganggu durian di kawasan kebun saya.
“Jika kita biarkan, kerugian semakin bertambah kerana populasi tupai dan beruk dilihat semakin banyak setiap tahun. Ada lebih 70 ekor beruk di sini dan kami bimbang pertanian yang diusahakan akan lumpuh sekiranya masalah ini tidak ditangani,” katanya.
Mohd. Johan memberitahu, setakat ini, hanya 10 peratus hasil buah duriannya dapat dikutip dan dijual pada musim ini.
Katanya, harga buah durian kampung dapat dijual pada harga yang tinggi antara RM10 hingga RM12 sekilogram.
Sementara itu, Mohd. Nawi Mat, 70, pula menyifatkan serangan haiwan liar terhadap kebun durian penduduk paling buruk pada tahun ini.
Katanya, dia berharap pihak berwajib dapat memberi bantuan dengan membenarkan semula penggunaan senjata api oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk membasmi musuh tanaman ini.
Seorang lagi pekebun, Mohd, Rosdi Ayub, 54, pula berharap pihak berwajib dapat menyelesaikan masalah dialami mereka yang sering ‘berperang’ dengan haiwan perosak.
“Pengeluaran durian musim ini agak lumayan apabila banyak pokok berbuah. Sebatang pokok mempunyai buah 300 biji, tetapi hanya 100 biji kami boleh kutip hasil kerana telah dirosakkan tupai,” jelasnya.















