fbpx
SELEPAS All Of Us Are Dead dan beberapa kali menjulang trofi terbaik, aktor Korea Selatan, Yoon Chan-young kembali meraih perhatian apabila membintangi naskhah bersiri, High School Return Of A Gangster yang sedang hangat ditayangkan menerusi platform Viu.

Lakonan ‘neraka syurga’ Yoon Chan-young

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKAN mudah untuk popular dan bukan senang untuk bakat diiktiraf khalayak. Itulah yang berlaku kepada aktor negara kimchi, Yoon Chan-young.

Memulakan karier lakonan sejak 2013 sewaktu berusia 12 tahun bukanlah satu kelebihan buat Chan-young. Dia pernah ditolak dan dipandang sebelah mata antara pengalaman yang cukup mendewasakannya.

“Sebelum dikenali ramai, saya sering menerima surat penolakan daripada produksi. Perkara tersebut menyebabkan saya kemurungan dan berkurung di bilik selama dua minggu.

“Tetapi saya tahu, saya harus bergerak ke depan. Saya berjanji pada diri sendiri untuk capai impian. Jadi, saya berlatih setiap hari. Rutin saya ketika itu hanyalah makan dan berlatih,” kongsinya.

Penantian berbaloi apabila Chan-young mula dikenali ramai selepas membintangi drama hit Netflix iaitu All Of Us Are Dead yang berada di tangga pertama drama paling ditonton di 59 buah negara.

“Selepas mendapat tawaran All Of Us Are Dead, saya menerima surat tawaran menyambung pengajian di Hanyang Universiti,” ujarnya.

Sejak itu, populariti Chan-young naik mendadak dan naskhah High School Return Of A Gangster yang kini sedang ditayangkan menerusi Viu turut mendapat sambutan luar biasa.

Meskipun begitu, kata Chan-young, perjalanan seni tidaklah glamor dan indah seperti yang digambarkan.

JIKA waktu mampu diputar semula, banyak perihal yang mahu diubah Chan-young, terutama berhubung kualiti lakonannya.

“Saya selalu tidak yakin dengan mutu lakonan. Kadangkala sukar untuk saya faham apa yang berada dalam kepala pengarah.

“Mood saya biasa bergantung bagaimana perjalanan penggambaran pada hari itu. Sama ada rasa seperti di neraka atau syurga. Memang saya terlalu tegas dengan diri sendiri,” ujar Chan-young.

Sambung bintang drama Dr. Romantic itu, jika mampu diputarkan waktu sepanjang 11 tahun bergelar pelakon, banyak perkara ingin diubahnya.

“Saya tidak sempurna, kalau mampu ke masa lalu mungkin saya akan bekerja mengikut cara yang lain.

“Cuma ini adalah minat saya, jika berada di waktu paling sukar saya akan mengingat kembali kenapa saya mahu jadi pelakon.

“Saya mahu berlakon kerana mahu menghiburkan orang ramai dan mengukir senyuman pada penonton,” terang Chan-young.

SEWAKTU baru hendak membina nama, Chan-young mengakui banyak kali namanya ditolak produksi daripada menyertai mana-mana naskhah.

Hollywood

Impak popularitinya, selain meraih penambahan jumlah pengikut Instagram daripada 1.8 juta menjadi 5 juta, Chan-young juga mula dihujani tawaran kolaborasi dengan banyak jenama mewah antarabangsa.

Ditebak bagaimana mengekalkan identiti agar tidak berubah meskipun selepas popular, kata Chan-young mudah, hanya ingat asal usul.

“Rasa seronok apabila ramai orang menonton lakonan saya. Untuk Netflix, lakonan saya ditonton di 190 buah negara. Tetapi populariti itu hadir dengan tanggungjawab yang besar.

“Saya masih seronok berlakon dan masa yang sama tidak melupakan asal usul dan kesusahan yang pernah dialami sebelum ini,” ujarnya yang meminati aktres Emma Stone dan Ryan Gosling.

Selepas Asia, Chan-young mempunyai impian cukup besar iaitu untuk bekerja di Hollywoood.

Meminati filem La La Land, Chan-young menyimpan impian untuk bekerja dengan pengarah filem berkenaan, Damien Chazelle.

“Saya sangat sukakan filem La La Land, saya telah tonton lebih 13 kali filem itu. Jika diberi kesempatan dan peluang, saya mahu bekerja dengan pengarahnya.

“Saya tidak tahu bagaimana perasaan cinta, tetapi saya memahaminya selepas menonton filem La La Land. Bagi saya naskhah itu sebuah filem yang sangat indah,” kongsi Chan-young yang hanya mendapat ciuman pertama di set penggambaran drama All Of Us Are Dead.

BErlakon sejak zaman kanak-kanak, bakat hebat Chan-young bukan calang-calang. Buktinya, dia pernah dijulang sebagai Pelakon Lelaki Muda Terbaik (Doctor John) ketika berusia 18 tahun.

Media sosial

Berbicara lebih lanjut tentang kualiti lakonan Chan-young, sejak kecil lagi dia menunjukkan mutu lakonan yang cukup hebat.

Buktinya, pada 2019 ketika usianya 18 tahun dia telah memenangi anugerah Pelakon Lelaki Muda Terbaik menerusi drama Doctor John.

“Anugerah adalah pengiktirafan yang menaikkan lagi semangat saya untuk berlakon dengan lebih baik.

“Apa pun fokus saya hanyalah pada lakonan, kepuasan penonton adalah yang utama. Saya akan cuba berkerja dalam bidang ini selama yang boleh,” luah Chan-young.

Sungguh pun begitu, Chan-young sedar bahawa sokongan peminat yang melonjakkan namanya di pentas seni.

Justeru, dia cukup aktif dalam media sosial, terutama Instagram untuk berinteraksi dengan 5 juta pengikut.

“Saya suka berkongsi kerja dan apa yang dilakukan bersama peminat di media sosial. Bagi saya cara lebih mudah dan peminat lebih memahami saya sebagai seorang pelakon.

“Sebab untuk saya berterima kasih kepada setiap orang yang menyokong saya adalah mustahil. Jadi, dengan media sosial saya dapat bersama peminat dan menunjukkan bahawa kerja seni adalah serius serta tidak mudah.

“Perjalanan saya dalam industri seni masih lagi panjang, saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan.

“Namun, saya berniat mahu bekerja lama dalam industri dan mengharapkan peminat akan terus memberi sokongan,” tutup Chan-young.

AMAT mengagumi karya Hollywood, La La Land, Chan-young menyimpan angan untuk bekerja dengan pengarah filem berkenaan, Damien Chazelle suatu hari nanti.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN