NAMA Hana Tajima sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia fesyen kerana selain popular sebagai ikon fesyen, wanita jelita itu juga merupakan seorang pereka fesyen bagi jenamanya sendiri.
Namanya satu ketika dahulu juga cukup terkenal dalam kalangan kaum wanita kerana gaya hijabnya menjadi trend popular di seluruh dunia.
Selain itu, Hana juga cukup terkenal sebagai individu yang lantang bersuara tentang isu-isu yang sedang berlaku di dunia seperti serangan ke atas Palestin dan juga krisis di Sudan.
Bahkan, namanya kembali menjadi perhatian baru-baru ini apabila dia menggayakan sehelai pakaian rekaannya sendiri yang melambangkan bendera Palestin dan juga Sudan ketika menghadiri satu jamuan negara untuk Maharaja dan Permaisuri Jepun di Istana Buckingham, Britain.
Hana menggayakan sehelai kimono daripada rona putih, hijau, hitam dan merah yang melambangkan bendera Palestin dan Sudan.
Pemilihan kimono sebagai rekaan yang digayakannya pula adalah sebagai melambangkan identiti dirinya yang merupakan anak kacukan Jepun-Inggeris.
Kehadirannya mencuri tumpuan, dan netizen rata-ratanya mengucapkan terima kasih kepada Hana kerana mengambil peluang tersebut dan menggunakan pengaruhnya dalam industri fesyen untuk memberi kesedaran tentang apa yang sedang berlaku kepada Palestin dan juga Sudan.
Hana menerusi kapsyen pada Instagram miliknya menulis bahawa dia teruja apabila dijemput untuk menghadiri acara tersebut.
“Ini merupakan satu penghormatan kepada saya untuk memakai pakaian yang melambangkan bendera Palestin dan Sudan.
“Malah, saya turut menggayakan aksesori rekaan pereka Palestin, Sarah Musa dan aksesori rekaan pereka kelahiran Sudan, Yousra Elsadig menerusi jenamanya iaitu Boutique de Nana,” katanya.
Hana juga memberitahu dia mengambil masa selama beberapa minggu untuk menghasilkan pakaian tersebut, selain berkongsi bahawa dia menggunakan banyak jahitan tangan.
“Namun, dalam setiap jahitan itu, saya memikirkan tentang apa yang saya wakili dan maknanya buat saya.
“Fabrik hijau dan putih ini adalah fabrik kimono vintaj. Saya kemudiannya menambah keffiyeh rekaan Sarah Musa di bahagian belakang baju, manakala tas tangan pula adalah dari Boutique de Nana,” katanya.
Sementara itu, Sarah Musa yang merupakan pereka keffiyeh yang dipakai Hana berkongsi rasa terharunya apabila ikon fesyen itu memberi penghormatan buat pereka sepertinya.
“Saya bersyukur apabila dapat turut sama terlibat dalam proses ini dan melihat rakan saya, Hana menghasilkan pakaian tersebut.
“Kimono Hana benar-benar satu penghormatan kepada Palestin dan Sudan, dan hasil akhirnya juga cukup menawan,” katanya yang turut berkongsi beberapa foto di sebalik tabir saat menghasilkan kimono tersebut.
Sarah menambah bahawa keffiyeh yang dihasilkan daripada fabrik jacquard itu juga akan mula dijual tidak lama lagi.














