fbpx
BUKAN sahaja aktif dalam bidang pengacaraan, Selina Lo turut mencanai bakat dalam dunia lakonan dan membintangi beberapa filem aksi. Berpeluang bekerjasama dengan Michelle Yeoh dalam filem Boss Level menjadi kenangan bermakna buatnya sebagai pembakar semangat untuk berusaha keras

Selina Lo nak jadi macam Michelle Yeoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SEBELUM datang ke Malaysia, saya tidak membuat sebarang pencarian di internet kerana ingin menikmati sendiri pengalaman pertama kali menjejakkan di sini.”

Begitu reaksi selebriti antarabangsa Selina Lo apabila berpeluang mengembara bersama teman baiknya, Justin Bratton dalam siri kandungan digital, Unfading Memoirs.

Bersiaran dalam saluran AXN Asia bermula 11 Julai lalu, program tersebut turut dikendalikan pengacara Erwan Heussaff melibatkan beberapa lokasi iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Kata Selina, keindahan flora dan fauna ditambah lagi keunikan budaya masyarakat berbilang bangsa di Malaysia sungguh mempesona.

Baginya, bukan sahaja latar belakang sejarah menarik, malah variasi hidangan yang menarik turut menjadi tarikan pelancong ke negara ini.

“Saya sangat teruja apabila berpeluang mempelajari tentang latar belakang sejarah Malaysia di Cultural Village Pulau Pinang.

“Bukan sahaja mengetahui tentang budaya, saya juga berpeluang merasai hidangan yang dimasak di dalam buluh.

“Kawasan persekitaran yang menarik dan masyarakat setempat yang ramah, membuatkan saya tidak berasa canggung di sini.

“Mereka melayan saya seperti sahabat dan sangat terbuka menerima kehadiran pelancong. 

Pada saya, itu yang menjadi tarikan dan keberuntungan orang ke negara ini,” ujarnya dalam satu sesi temu bual dalam talian baru-baru ini.

SEBAGAI pelakon filem aksi, Selina sentiasa mengutamakan keselamatan terutama ketika di set penggambaran.

Nuansa alam

Dalam pada itu, Selina berkata, dia berdepan dengan cabaran cuaca sepanjang berada di Malaysia.

Masakan tidak, dia yang menetap di negara empat musim United Kingdom (UK) tentu sahaja mengalami ‘kejutan budaya’.

“Awalnya agak sukar untuk membiasakan diri kerana saya tidak biasa menjalani hari yang panas.

“Namun, saya faham begini cuaca di negara Hutan Hujan Tropika. Jadi saya banyak minum air kerana mengalami dehidrasi.

“Memang agak sulit untuk saya kerana tidak biasa, tetapi pada saya semua baik-baik sahaja kerana cuaca begini membantu melancarkan proses penggambaran,” jelasnya.

Melanjutkan cerita tentang pengalaman di sini, Selina berkata, dia sanggup mencabar diri dengan menyelam ke dasar laut meskipun tidak mempunyai kemahiran berenang ketika berkunjung ke Sabah.

SELINA Lo teruja berpeluang pertama kali berkunjung ke Malaysia bagi menjayakan rancangan pengembaraan bertajuk Unfading Memoirs.

Malah, dia juga mengakui bukan seorang yang gemar melakukan aktiviti sebegitu termasuk berasa gayat di tempat tinggi.

“Pengalaman menyelam di  dasar laut itu agak mengerikan. Awalnya, Bratton mengatakan paras air tidak terlalu dalam dan saya boleh berdiri untuk naik ke permukaan.

“Dia berkata begitu kerana saya takut untuk melakukan aktiviti itu. Tentu sahaja kerana saya tidak pandai berenang, takut dengan tempat tinggi, tidak pandai memandu dan tidak tahu menunggang basikal.

“Ketika menyelam saya hanya bergantung kepada Bratton sahaja. Saya juga dipakaikan dengan topi keselamatan khas bagi memudahkan untuk bernafas dan melihat di dalam air.

“Sebaik sahaja masuk ke dalam laut, saya dapat mendengar bunyi air yang agak kuat dan menakutkan. Perlahan-lahan kami menyelam sehingga saya berpeluang bertemu dengan Nemo (clownfish),” ujarnya.

Namun, Selina tidak memperincikan tahap kedalaman laut yang telah berjaya dia dan Bratton lalui.

SELINA akui alami kejutan budaya dan cuaca selama berada i Malaysia.

Pelakon Asia

Selain aktif dalam bidang pengacaraan, dia juga bergelar bintang filem dan telah beberapa kali muncul dengan naskhah layar perak seperti Winter Dream, Hellraiser, The Scorpion King 3: Battle for Redemption dan Time Rush.

Jadi tidak hairan jika Selina pernah bekerja dengan aktres kelahiran Ipoh, Perak dan juga pemegang trofi Pelakon Wanita Terbaik Oscar 2023 iaitu Tan Sri Michelle Yeoh dalam filem Boss Level.

Baginya peluang bekerjasama dengan pelakon ‘papan atas’ itu membuatkan dia lebih teruja dan kagum apatah lagi menyaksikan orang Asia mencipta nama di Hollywood.

“Michelle Yeoh merupakan ikon dan idola kepada banyak pelakon Asia lain. Kehebatan dia mencipta nama dalam industri hiburan memang tidak dapat dinafikan.

“Jadi peluang dapat bekerjasama dengannya satu pengalaman yang menyeronokkan, Kami banyak berbual dan dia juga memberikan nasihat serta sokongan kepada saya tentang dunia lakonan.

“Pada saya, dia merupakan kekayaan yang tidak terucap dan Malaysia beruntung mempunyai anak seni sepertinya,” katanya yang mempunyai kemahiran seni mempertahankan diri dan mahir menggunakan senjata api.

Pelakon berusia 30 tahun itu juga mengharapkan agar dia mampu untuk meraih kejayaan seperti Michelle di samping melihat lebih ramai pelakon wanita dari negara Asia terlibat dalam industri perfileman Hollywood.

PENGALAMAN menyelam di perairan Sabah antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan Selina apatah lagi dia sendiri tidak tahu berenang.

Selain itu, Selina yang banyak membintangi filem aksi berkata, sepanjang lebih 10 tahun dalam industri dia tidak pernah mengalami sebarang kecederaan serius di set penggambaran.

Katanya, persiapan yang rapi dan tenaga kerja mahir profesional dapat membantu mengelakkan daripada berlakunya kejadian tidak diingini.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kru kerana sepanjang berlakon saya tidak mengalami kemalangan atau kecederaan serius. 

“Kami amat menitikberatkan soal keselamatan di set dan memastikan insiden seperti itu tidak berlaku.

“Tetapi jika ada lebam atau luka-luka kecil itu perkara biasa kerana melakonkan babak aksi melibatkan banyak pergerakan. 

“Saya juga sentiasa berhati-hati dan memperbanyakkan latihan sebagai persediaan,” jelasnya yang bakal muncul dalam siri The Lord of the Rings: The Rings of Power musim kedua mula bersiaran Ogos depan.

Selina bakal muncul dalam siri The Lord of the Rings: The Rings of Power musim kedua yang memulakan tayangan pada Ogos depan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN