fbpx
Gambar hiasan.

‘Orang muda tak risau kena HIV, ada ubat katanya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ADA yang menggunakan masa muda dengan bijaksana, ada juga yang terbuai dan ‘tertipu’ dalam usia ini sehingga sanggup melakukan perkara yang boleh merosakkan masa hadapan.

Baru-baru ini Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir mendedahkan jangkitan HIV dalam kalangan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) semakin meningkat.

Katanya, seramai 214 pelajar IPT dijangkiti HIV pada 2020 di­ikuti 186 kes (2021), 221 kes (2022) dan 244 kes (2023).

Sudah pasti angka yang dikongsikan itu membuatkan orang ramai bimbang de­ngan nasib anak muda dan juga masa hadapan negara jika tidak dibendung dengan segera.

Anak muda yang menyambung pengajian di IPT bukan sahaja menjadi harapan ibu dan bapa tetapi negara kerana mereka yang akan menyambung legasi kepimpinan serta ahli cerdik pandai.

Jika dahulu HIV dikaitkan dengan dadah tetapi kini jangkitan virus itu banyak berpunca daripada seks bebas.

Penulis tertarik dengan perkongsian seorang PLHIV (People Living with HIV) yang menyatakan anak muda ambil mudah dan tidak risau dengan jangkitan HIV kerana bagi mereka teknologi sudah canggih, ada ubat untuk ‘tidurkan’ virus itu dan sebagai ‘alat’ pelindung.

“Ubat, profilaksis prapendedahan oral (PrEP) dan kondom sebagai cara untuk menghalal­kan seks rambang. Bila nafsu menjadi tuan maka wujudlah mindset sebegini sehingga mengaburi pertimbangan diri.

“Hakikatnya, mereka beri­siko terdedah dengan jangkitan HIV meskipun semua itu melin­dungi 99 peratus kerana ada lagi satu peratus di luar jangkaan,” ujarnya.

Dia turut menceritakan ke­peritan hidup dengan HIV, antaranya perlu makan ubat (bersaiz besar) dua kali sehari seumur hidup, ambil darah setiap enam bulan.

“Semua itu perlu dilakukan dengan penuh disiplin dan komitmen dari segi masa. Persoalannya adakah anda mampu mengikuti rutin tersebut tanpa culas? Penat sebenarnya,” ­jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah Program Sains Pembangunan Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran (SEED), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Suhana Saad berkata, pendidikan seksual yang komprehensif perlu diperkenalkan untuk meningkatkan kesedaran tentang risiko dan kaedah pencegahan HIV.

“Program pendidikan (ko-kurikulum) yang berkesan harus diterapkan di IPT untuk memberi pengetahuan yang tepat mengenai cara penularan, pencegahan dan stigma yang sering dihadapi.

“Media sosial boleh digunakan sebagai alat untuk menyebarkan maklumat yang betul tentang HIV dan cara pencegahan,” katanya.

Tambahnya, kerjasama de­ngan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang berfokus kepada kesihatan seksual juga dapat membantu dalam memberi sokongan dan maklumat yang diperlukan oleh pelajar.

Suhana berkata, program intervensi yang menyasarkan pelajar berisiko tinggi melalui sesi kaunseling dan sokongan psikologi juga dapat membantu mengurangkan risiko penyebaran HIV.

“Dengan pendekatan yang holistik dan kerjasama daripada pelbagai pihak, kita dapat me­ngatasi isu peningkatan kes HIV dalam kalangan pelajar IPT di Malaysia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN