MELAKA – Melaka akan membuka sebuah Taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) autisme di setiap daerah di negeri ini, sekali gus menjadi perintis dalam pembangunan kemudahan itu, awal tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, usaha itu akan dilaksanakan di bawah pengurusan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
Jelasnya, ketika ini Kemas Melaka sedang mempersiapkan guru-guru yang terlibat dengan memberikan latihan mengenai kaedah dan tatacara khusus pengendalian kanak-kanak berkeperluan khas.
“Seperti mana yang kita maklumkan sebelum ini, Melaka merupakan negeri perintis kewujudan satu daerah, satu Tabika Kemas untuk anak-anak autisme.
“Lokasi tabika berkenaan kita sudah kenal pasti, namun ia akan diumumkan nanti kerana fokus utama kita pada masa ini adalah melatih guru-guru bersesuaian untuk anak-anak berkeperluan khas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Festival Kesenian Islam (FKI) 2024 di pekarangan Menara Taming Sari, Banda Hilir di sini.
Mengulas lanjut Dr. Muhamad Akmal berkata, pembangunan itu diharap dapat membantu meringankan beban para ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk menghantar anak-anak autisme ke sekolah khas.
“Selaras dengan matlamat untuk membantu ibu bapa berpendapatan rendah yang mempunyai anak autisme, kemasukan ke fasiliti berkenaan akan diutamakan kepada golongan B40.
“Langkah itu bagi meringankan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk menghantar anak-anak istimewa mereka ke sekolah khas bagi mendapatkan pendidikan dan terapi khas,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














