SEBAGAI seseorang yang sangat percayakan bahawa setiap kesahihan cerita bertebaran dalam media sosial itu perlu didengari daripada dua pihak terlibat, penulis cuba mendapatkan komen lanjut daripada tuan punya badan, Ruhainies berhubung komen sensasi yang dinyatakan di mahkamah baru-baru ini.
Komen yang dimaksudkan bersangkut paut dengan dakwaan ramai kononnya dia menyindir Bella Astillah apabila menyatakan dia tidak pandai berlakon dan menangis di depan kamera.
Tunggu punya tunggu dijedakan dengan balasan ringkas berbunyi ‘sat’ (sekejap) dan kemudian apabila dihubungi panggilan telefon, jawapan masih berkonotasi negatif ‘sekejap saya tengah meeting dengan peguam’.
Hanya selepas artikel ini dilunaskan, Ruhainies sempat meluangkan masa ditemu bual. Sebagai menghormati permintaan pelakon itu untuk tidak disiarkan apa yang off the record, maka pemilik nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas itu berkata, adalah lebih baik dia berdiam diri daripada terus berkata-kata.
“Lebih baik saya berdiam diri daripada memberi komen tentang perkara itu. Lagi banyak saya cakap, lagi menjadi asbab orang bercakap yang bukan-bukan.
“Kita tunggu apa berlaku berikutnya,” katanya ringkas kepada Pose.
Berkenaan isu tak pandai berlakon, menangis depan kamera, barangkali apa yang diluncur dari bibir Ruhainies atau nama sebenarnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas adalah satu tindakan refleks atau dia memang sangat mencari nahas kecaman netizen.
Parameter
Parameter pertama, Ruhainies, 32, barangkali memang benar dia sudah tidak sekerap dulu bertemu dengan teman-teman media. Apabila diajukan soalan secara spontan, maka terbutirlah seperti apa yang terbutir dalam laporan-laporan media.
Parameter kedua, Ruhainies sudah muak dengan segala kesalahan diletakkan di bahunya. Jadi, alang alang menyeluk pekasam dan begitu mudah dirinya dicop sebagai villain sampai hari kiamat, biarkan sahaja orang terus berkata-kata.
Itu andaian penulis sebagai seseorang yang sudah masak dengan sepak terajang industri yang dikerjakan para pemainnya.
Seperkara lagi, andai mendiamkan diri menyebabkan bermacam-macam tuduhan tidak berasas timbul tenggelam seperti dakwaan dia dan Aliff Aziz bakal bertunang tidak lama lagi, Ruhainies juga mempunyai 1,001 alasan untuk mempertahankan dirinya.
Jika terbukti Ruhainies dan Aliff tidak bersalah dari sudut undang-undang berhubung kes khalwat mereka, itu satu tamparan hebat buat mereka yang terlibat terutama netizen yang siang malam pagi ke petang berkicau tentang isu tersebut.

Dan, andai Ruhainies dan Aliff didapati bersalah atas pertuduhan disabitkan, maka semakin menyalalah rasa benci peminat terhadap mereka. Silap hari bulan, boleh terus lingkup kerjaya masing-masing.
Ingatan
Ini ingatan buat sesiapa sahaja yang berasakan diri mereka seorang pelakon atau bekerja dalam cabang seni, kalau rakan media cuba menghubungi, tidak salah pun rasanya luang masa sekurang-kurangnya 10 minit untuk menjawab.
Tak luak pun 10 minit daripada 24 jam sehari yang Tuhan berikan kepada kita. Kalau Ruhainies sedia meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit atau apa yang diluahkan tidak berstatus off the record, tulisan ini tidak akan divisualkan sebegini. Akan ada inti daripada perbualan atau wawancara.
Bukan apa, sebab Ruhainies kata di mahkamah usai prosiding mahkamah senyuman sentiasa terukir di bibir sebab jumpa rakan media.
“Saya senyum sebab nampak rakan-rakan media. Saya teruja selepas sekian lama tak jumpa anda semua.
“Saya bersyukur sebab kalian sudi datang awal pagi dan meluangkan masa untuk prosiding hari ini,” katanya.
Atau hanya suka didekati media apabila ada kamera atau mikrofon mengikuti. Wallahualam. Moga baik-baik sahaja buat semua.














