fbpx
Wendy (dua dari kiri) memberi penerangan kepada pengunjung mengenai pameran ‘The Lain Lain Project’ yang berlangsung di GMBB, Kuala Lumpur.

Pameran holistik komuniti ‘lain lain’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAIK sahaja memasuki ruang pameran serba hitam dan putih itu, pengunjung akan disambut dengan perkataan ‘The Lain Lain Project’.

‘Lain lain’ merupakan perkataan yang sering digunakan bagi mewakili golongan minoriti di Malaysia.

Pameran itu dibahagikan kepada tiga bahagian yang menjelaskan perkaitan golongan minoriti sama ada sesama komuniti tempatan atau global.

Penganjuran pameran di pusat beli-belah, GMBB, Kuala Lumpur itu sedang berlangsung dan dijangka berakhir pada 20 Oktober nanti.

Menurut Pengasas Borneo Laboratory, Wendy Teo, kepelbagaian etnik di sebalik perkataan ‘lain lain’ menarik perhatiannya untuk mengetengahkan komuniti itu kepada umum.

“Pendekatan inklusif ini mencerminkan kesalinghubungan naratif global dan perkongsian ‘akar’ masyarakat Orang Asli di seluruh dunia.

“Bagaimanapun, perkataan ‘lain lain’ turut melibatkan golongan terpinggir di Malaysia seperti pelarian,” ujarnya.

Bermula dari ruang bernama Serumpun, pengunjung dipersembahkan dengan perkaitan pengetahuan, kebijaksanaan dan budaya material tradisi kraf di Borneo iaitu Kalimantan (Indonesia), Sarawak dan Sabah.

Biarpun etnik di pulau tersebut memiliki kedudukan geografi dan budaya berbeza, namun memiliki asas yang sama.

Perkara itu diterjemahkan menerusi reka bentuk spatial menggunakan jalur fabrik dan meja bercahaya yang mewakili kesinambungan cerita setiap individu.

Di bahagian Big Trip, pengunjung akan dibawa menyelami dunia masyarakat Orang Asli secara holistik dengan mengaitkan komuniti itu di seluruh dunia.

Pameran yang berlangsung sehingga 20 Oktober depan itu dibahagikan kepada tiga bahagian. – GMBB

Ruangan itu menunjukkan persamaan amalan yang boleh dijumpai di pelbagai tempat berbeza termasuk Taiwan, Bhutan, Brazil dan Jepun.

Penggunaan geometri ringkas dalam ruangan pameran menggambarkan hubungan dan interaksi antara ciri geografi serta budaya masyarakat tersebut.

Pada bahagian akhir, definisi ‘lain-lain’ dikembangkan lebih luas dengan mengangkat komuniti terpinggir di Kuala Lumpur termasuk komuniti pelarian.

Dalam ruangan tersebut, pelbagai platform media digunakan untuk mempersembahkan mesej mendalam mengenai cabaran dihadapi komuniti minoriti.

Antara bahan pameran termasuk video, gambar, papan hitam, teks dan cetakan kayu.

Mengulas lanjut, anak jati Sarawak itu berharap pengunjung dapat menyelami makna dan visi di sebalik pameran yang memakan masa enam bulan untuk dibangunkan.

“Saya berharap pengunjung cuba untuk memahami setiap kisah dan artifak yang dipamerkan.

“Ia dapat mencetuskan rasa ingin tahu dan empati terhadap kelompok ‘lain lain’ yang selama ini dipandang sepi,” ujarnya.

Sebagai rekod, pameran tersebut merupakan usaha kolaboratif yang melibatkan pasukan kurator, penyelidik, artis dan ahli komuniti.

Secara keseluruhan, penyelidikan selama empat tahun itu dilakukan bagi memastikan suara komuniti yang berbeza dapat disertakan dalam pameran berkenaan.

Untuk bahagian Serumpun, terdapat lebih 200 orang daripada 12 komuniti ditemu bual untuk dijadikan sebagai sumber. Lebih menarik, tiada bayaran dikenakan kepada pengunjung pameran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN