EKSKLUSIF dan mewah merupakan signatur model Luxury Mover (LM) iaitu kenderaan pelbagai guna (MPV) bertaraf limosin yang diperkenalkan oleh Lexus Malaysia.
Sejak pengenalan model generasi pertama pada 2019, MPV mewah itu mencatatkan jualan mengagumkan dengan 16,114 unit terjual di seluruh dunia setakat ini.
Terbaharu, model generasi kedua Lexus LM diperkenalkan Mei lalu dengan beberapa aspek penawaran baharu, bukan hanya berbeza dari segi sistem janaan kuasa, malah konfigurasi tempat duduknya.
Lexus LM 2024 tersedia dalam dua varian pilihan iaitu varian paling tinggi LM500 dijual pada harga RM1.47 juta dan LM350h ditawarkan pada RM1.23 juta.
Kedua-dua varian itu mempunyai rangkaian kuasa elektrik hibrid (HEV) dengan pengecasan sendiri.
Bersaiz besar dan eksklusif, varian LM500 didatangkan dengan konfigurasi empat tempat duduk, manakala LM350h dengan konfigurasi tujuh tempat duduk.
Tidak seperti model pertama LM yang banyak menyuntik persamaan dengan model Toyota Alphard dan Vellfire, LM generasi kedua ini tampil dengan imej lebih garang.
Namun, ia mengekalkan eksklusiviti, sekali gus sesuai dengan jenama dibawa Lexus.
Lexus LM sentiasa menjadi simbol kejayaan bagi pelanggan yang ingin merasai pengangkutan mewah aras lebih tinggi.
Dari segi reka bentuk luaran, elemen paling ketara yang mendominasi MPV elit itu adalah rekaan ‘gril spindle’ tanpa bingkai.
Ia disatukan dengan badan menggunakan kesan potongan ‘diamond satin cut’ pada bahagian utama gril.
Rim pula menggunakan rim aluminium Multi-Spoke Mesh bersaiz 19 inci yang elegan.
Ia boleh didapati dalam empat warna luaran iaitu Graphite Black Glass Flake, Sonic Titanium, Sonic Quartz dan Sonic Agate.
Jentera ini juga dilengkapi dengan ciri resin resonator untuk memperlahankan bunyi bising ketika dipandu di atas jalan raya, sekali gus menjadikan ruang kabin lebih senyap.
Rupa depan jentera ini kelihatan lebih memukau dan terserlah dengan lampu depan projektor LED 3-Beam berprestasi tinggi.
Di bahagian belakang pula, model LM500 menggunakan jalur lampu khusus berbentuk L dengan satu lagi jalur lampu di atasnya yang merentasi lebar keseluruhan MPV mewah ini.
Seterusnya, kenderaan itu menyediakan kemudahan tambahan, di mana kedua-dua pintu penumpang belakang mempunyai suis jenis ‘see-saw’ untuk memberikan kebolehgunaan intuitif.
Pegangan pintu hadapan luar juga menggunakan sistem e-Latch dengan fungsi ‘Safe Exit Assist’ (SEA) bagi membantu mengurangkan pelanggaran tidak diingini oleh kenderaan yang mendekati dari belakang.
Dari segi dimensi atau saiz, LM500 mempunyai ukuran 5,125 milimeter (mm) panjang dan 1,890mm lebar dengan ketinggian 1,940mm untuk konfigurasi empat tempat duduk.
Semua aspek Lexus LM baharu telah disesuaikan dengan teliti daripada pertukangan Takumi yang terkenal menawarkan pengalaman mobiliti terbaik kepada pelanggan.

Sesuai untuk golongan elit, aspek ruang dalaman Lexus LM menawarkan keselesaan maksimum kepada penumpang yang inginkan ketenangan ketika jentera bergerak.
Persekitaran kabin yang moden, tenang dan mewah membolehkan pelanggan berasa seperti di ruang tamu atau pejabat mudah alih.
Bahagian ruang dalaman jentera elit ini dilengkapi dengan material dan kulit serap gegaran untuk kerusi penumpang seakan berada dalam kabin pesawat.
Ia hadir dengan dua pilihan warna iaitu hitam kelabu dan putih.
Kerusi AdaptiPedic itu boleh dilaraskan kepada fungsi tertentu seperti mengurut, selain dilengkapi pendingin hawa dan pemanas, selain boleh dibaringkan sepenuhnya.
Versi LM500 hadir dengan lebih banyak ciri mewah termasuk penghadang kedap bunyi yang memisahkan pemandu dan penumpang di belakang.
Penghadang itu 40 peratus lebih kedap bunyi berbanding model sebelum ini.
Ciri dalaman baharu Lexus LM termasuk termistor terbina pada stereng, bumbung kaca dan pelindung matahari bersepadu bagi meningkatkan rasa luas kepada penumpang ketika dalam kabin.
Menariknya, setiap penumpang di bahagian belakang diberikan panel multi operasi sendiri.
Ini bagi memudahkan mereka melihat fungsi kabin seperti penghawa dingin, postur tempat duduk dan pencahayaan.
Selain itu, paparan skrin ultrawide bersaiz 48 inci yang dipasang dalam LM500 menampilkan fungsi dwi skrin untuk menawarkan pengalaman paparan luar biasa dan tontonan multimedia.
Dari segi kuasa, LM500h menggunakan enjin petrol turbo hibrid 2.4 liter dengan sistem pacuan Direct 4 All Wheel Drive.
Enjin itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 371hp dan tork tertinggi 460Nm bagi memberikan prestasi langsung dan penjimatan bahan api.
Kadar pecutan model ini dari pegun hingga 100 kilometer per jam (kmj) dalam masa hanya 6.9 saat.
Kesimpulannya, Lexus LM baharu ini mencapai penanda aras baharu bagi kenderaan MPV mewah selaras dengan fokus menyediakan keselesaan kepada penumpang melalui kemudahan hospitaliti mudah alih terbaik.
Bukan sekadar kenderaan mewah, Lexus LM juga memenuhi gaya hidup terkini golongan profesional.
Golongan itu boleh membuat kerja dengan selesa dalam kenderaan ini sambil menikmati ‘ketenangan’.














