GUA MUSANG – Masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Tuel di sini berdepan masalah harga makanan asas yang dijual pada harga tinggi di kawasan perkampungan mereka.
Seorang penduduk Orang Asli, Ramli Angah, 45, berkata, masyarakat Orang Asli mendakwa terbeban apabila beras import dijual melebihi harga RM40 sekilogram dan telur dijual pada harga 50 sen hingga 70 sen sebiji.
Katanya, selain itu barangan seperti gula dan minyak masak juga dijual melebihi harga kedai runcit biasa di kawasan terbabit.
“Kami penduduk Orang Asli memang terkesan dengan harga barang makanan asas yang dijual mahal kerana kami hanya mendapat wang hasil daripada menoreh getah dan bercucuk tanam.
“Keluarga saya menggunakan sekurang-kurangnya empat kampit beras 10 kilogram sebulan. Saya perlu menyediakan wang RM200 untuk beras sahaja setiap bulan,” katanya.
Seorang suri rumah, Rohani Alang, 31, mendakwa, kos perbelanjaan isi rumahnya semakin meningkat sejak penyasaran subsidi diesel bermula dua minggu lalu.
Katanya, ada peniaga bertindak menaikkan harga barang kerana terpaksa menanggung kos pengangkutan untuk keluar membeli barang jualan mereka.
“Sebelum kenaikan harga diesel, membelanjakan kira-kira RM60 untuk membeli barang keperluan asas setiap minggu. Sejak kenaikan harga diesel perbelanjaan meningkat sehingga lebih RM100.
“Kami berharap agensi penguat kuasa membuat pemantauan harga secara berkala di kampung kami,” katanya ketika ditemui pada Program Klinik Kepenggunaan Bersama Masyarakat Orang Asli di Pos Tuel di sini semalam.
Program itu anjuran Gerakan Pengguna Negeri Kelantan (GPN) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan dan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UiTM Machang.
Pada program itu, seramai 300 Ketua Isi Rumah (KIR) Orang Asli menerima manfaat termasuklah meningkatkan kesedaran mereka terhadap isu-isu semasa kepenggunaan.
Sementara itu, Penghulu Pos Tuel, Halim Sharif memberitahu, dia banyak menerima rungutan daripada penduduk Orang Asli berkaitan harga beras dan telur yang dijual lebih tinggi berbanding di kawasan bandar.
Katanya, dia berharap berharap agensi berwajib seperti KPDN dapat membuat pemantauan secara kerap di perkampungan mereka.















