KITA sering dipaparkan dengan kejadian tragis membabitkan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak yang sudah pasti mengundang rasa marah sesiapapun terhadap pelakunya.
Perbuatan kejam pelaku menyeksa anak kecil termasuk secara seksual tanpa sekelumit rasa belas ihsan sememangnya tidak boleh diterima.
Bagi mangsa dera, kisah itu akan terus membekas dalam diri terutama daripada segi emosi, namun bagi kes penderaan yang sampai meragut nyawa anak kecil, hukuman berat dan setimpal perlu dikenakan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, kes penderaan kanak-kanak di negara ini meningkat daripada 6,144 kes pada 2021 kepada 6,740 pada 2022.
Angka itu membimbangkan dan meminta masyarakat supaya lebih peka selain memperkasa kanak-kanak supaya golongan itu berupaya bertindak jika berlaku ancaman terhadap nyawa mereka.
Nancy juga dilaporkan berkata, peningkatan jumlah kes antaranya disebabkan masyarakat semakin peka dan sedar dengan melaporkan penderaan yang berlaku di kawasan sekitar mereka berbanding sebelum ini.
Berdasarkan kenyataan itu, boleh disimpulkan bahawa setiap kita mempunyai peranan penting dalam menjamin keselamatan di kawasan kejiranan masing-masing.
Dalam satu kes di Johor, jiran menjadi penyelamat kepada seorang budak berusia tujuh tahun yang cedera serius akibat didera ibunya bersama rakan.
Beberapa jiran menyerbu rumah itu selepas mengesyaki budak lelaki terbabit didera hampir setiap hari selain berasa curiga dengan tingkah laku pasangan berkenaan.
Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kedah, Datuk Dr. Zulkifly Mohamad berkata, kejadian jenayah boleh dicegah lebih awal sekiranya masyarakat prihatin dan peka dengan jiran masing-masing.
“Kejadian jenayah seperti penderaan kebiasaannya dilakukan oleh ahli keluarga terdekat termasuk ibu bapa mangsa sendiri dan kebanyakannya berlaku akibat tekanan hidup.
“Jadi, sebagai masyarakat yang prihatin, mereka perlu mengenali dan membantu jiran yang bermasalah. Sebagai contoh, jiran kita adalah ibu tunggal dan terpaksa menjaga anak hiperaktif dalam keadaan ekonominya yang tidak stabil, jadi adalah tanggungjawab komuniti setempat tampil membantu,” katanya.
Menurut beliau, penglibatan komuniti bertanya khabar dan menghulurkan bantuan dapat mengurangkan tekanan keluarga bermasalah, sekali gus membantu mencegah sebarang perlakuan yang menjurus kepada jenayah.
“Dalam perkara ini, pihak pengurusan masjid juga perlu memainkan peranan dalam mengenal pasti mana-mana keluarga yang perlu didekati.
Program-program dijalankan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) turut mampu menyemai semangat kejiranan dalam komuniti.
“Sikap ambil peduli ini penting kerana ia mampu menyelamatkan nyawa seseorang termasuk anak kecil yang menjadi mangsa dera,” katanya.
Tambahnya, setiap orang perlu sedar betapa pentingnya hidup berjiran dan mengambil berat antara satu sama lain.














