fbpx
Masjid Imanul Fa’izin mula dibuka kepada umum sejak Ramadan lalu.

Masjid Imanul Fa’izin pengubat rindu Tanah Suci

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MASJID Imanul Fa’izin di Kampung Padang Kala, Kota Bharu, Kelantan kini menjadi destinasi kunjungan ramai bukan sahaja untuk beribadat, sebaliknya seni binanya yang menyerupai Masjid Sheikh Zayed al- Nahyan di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) turut menjadi tarikan.

Dikenali dengan panggilan Masjid Andalusia, masjid berwarna putih itu dihiasi dekorasi 100 kubah bersaiz besar dan kecil di kawasan berkeluasan hampir 0.46 hektar.

Bukan hanya selesa, ruang solat berjemaah dan majlis ilmu juga disusun dengan baik oleh pihak pengurusan masjid berkenaan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Imanul Fa’izin, Nik Saiful Adli Burhan berkata, masjid itu mula dibuka kepada orang ramai pada Ramadan lalu selepas dibina dalam tempoh empat tahun.

“Dekorasi masjid ini direalisasikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Ibrahim Mat Sin yang merupakan anak jati Kampung Padang Kala.

“Setakat ini, terdapat beberapa bahagian masjid masih dibangunkan dengan perbelanjaan yang sudah mencecah lebih RM8 juta,” katanya ketika ditemui Panorama di Masjid Imanul Fa’izin, baru-baru ini.

Nik Saiful Adli memberitahu, kajian reka bentuk dan seni bina Masjid Sheikh Zayed dilakukan bagi memastikan ia seiras dengan hasil tangan arkitek, Mohammad Ali Al Ameri yang siap dibina pada 2007 di UAE.

Menurutnya, Masjid Imanul Fa’izin turut berdepan dengan kekangan pada peringkat awal pembinaan kerana terpaksa dihentikan buat sementara waktu ekoran penularan Covid-19 sehingga kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun katanya, hasil usaha semua pihak, masjid itu berjaya disiapkan dan dibuka pada umum pada Ramadan lalu.

“Bagi memastikan pintu gerbang yang merupakan pintu masuk utama ke masjid itu menepati spesifikasi ditetapkan, Ibrahim memberikan banyak gambar Masjid Sheikh Zayed kepada tukang untuk mencontohi reka bentuknya dan binaan bahagian lain masjid itu.

“Ia termasuk memastikan dimensi menara, halaman, warna dan pemilihan bahan-bahan binaan sama seperti di UAE, terutamanya penggunaan jubin termasuk batu marmar,” ujarnya.

Menurut Nik Saiful Adli, material kubah turut dipilih daripada bahan yang kukuh dan kalis karat.

Beliau berkata, kubah masjid ditempah khas dari Medan, Indonesia dengan menggunakan kepakaran tukang dari luar negara.

“Batu marmar pada lantai dan dinding masjid pula dibeli dari Turkiye, Mesir dan Oman.

“Karpet seperti corak karpet Raudhah di Masjid Nabawi ditempah khas dari kilang di Madinah, Arab Saudi.

“Kita mahu pengunjung merasai suasana seperti di Madinah dan Mekah, sekali gus dapat melepaskan kerinduan terhadap kedua-dua tempat suci Islam itu,” ujarnya.

Nik Saiful Adli berkata, mengikut perancangan akan datang, pekarangan masjid akan dibuka kepada penduduk atau orang ramai untuk mengadakan resepsi atau kenduri perkahwinan.

Ruang solat masjid cukup luas dan selesa.

Katanya, perancangan itu termasuk membenarkan ruang dalam masjid itu sebagai lokasi akad nikah, ijab dan kabul.

“Pihak masjid juga akan menambah baik dekorasi memandangkan keluasan untuk hiasan laman
adalah terhad.

“Ini termasuk menyediakan taman permainan kepada kanak-kanak di masjid,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Masjid Imanul Fa’izin, Mohd. Rozi Abdullah berkata, keselesaan merupakan piagam pelanggan yang diberi fokus utama oleh pengurusan masjid.

Ujarnya, ia bagi memastikan pelbagai perkhidmatan boleh dinikmati ahli khariah dan pengunjung.

Menurutnya, mesyuarat pengurusan diadakan setiap minggu termasuk melaksanakan tindakan segera mengenai perkara berbangkit dan pembangunan semasa masjid berkenaan.

“Masjid ini mengutamakan kualiti perkhidmatan dalam pelbagai aspek sebagai sebahagian usaha memberi keselesaan kepada umum dan merealisasikan masjid sebagai pusat dakwah.

“Masjid Imanul Fa’izin mempunyai empat orang bilal, dua imam dan enam siak yang bertanggungjawab dalam hal ehwal ibadah.

“Hal ehwal urus tadbir, pembangunan, pentadbir diuruskan oleh jawatankuasa masjid dalam kalangan ahli profesional,” katanya.

Mohd. Rozi memberitahu, semua imam di masjid itu merupakan pemegang ijazah dalam jurusan berkaitan termasuk pengajian al-Quran, qiraat dan fekah yang turut menjadi sumber rujukan penduduk setempat berkaitan hal ehwal agama.

Katanya, mereka semua dibayar gaji bulanan yang tinggi dan lengkap dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta lain-lain kemudahan berasaskan Akta Kerja 1995 (pindaan) 2022.

Menurutnya, dua pengawal keselamatan dan pekerja kebersihan ditugaskan mengikut bidang kerja masing-masing.

“Kami fikir mengenai keperluan masyarakat apabila imam dan bilal menjadi tunggak rujukan.

“Orang ramai yang mahu bertanya mengenai agama, sudah tentu mereka akan mencari imam atau bilal.

“Sasaran utama kita adalah untuk merealisasikan masjid sebagai pusat dakwah dan daya tarikan masyarakat setempat untuk solat berjemaah termasuk menyebarkan syiar Islam kepada orang bukan Islam,” ujarnya.

Mohd. Rozi berkata, masjid itu turut mempunyai 40 buah rumah sewa dan premis bagi mengukuhkan dana kewangannya dalam menampung keperluan semasa.

Menurutnya, selain dekorasi luaran, sistem pembesar suara juga dipilih daripada komponen audio terbaik bernilai RM140,000 yang diimport khas dari Jerman.

Katanya, pengurusan masjid berusaha memenuhi permintaan penduduk setempat untuk mendapatkan kebenaran Majlis Agama Islam dan

Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) untuk membenarkan masjid berkenaan melaksanakan solat Jumaat.

“Boleh dikatakan setiap hari Jumaat ada sahaja musafir yang singgah untuk solat Jumaat sehingga masjid terpaksa dikunci pada pukul 12 tengah hari.

“Jika tidak, sukar untuk mengarahkan pengunjung keluar kerana tanggapan mereka masjid ini boleh menunaikan solat Jumaat,” ujarnya.

Mohd. Rozi berkata, kelulusan untuk menjadikan Masjid Imanul Fa’izin sebagai sub masjid mukim mengikut peruntukan yang ada mungkin dapat membantu mengurangkan kesesakan masjid berdekatan semasa solat Jumaat.

Menurutnya, meskipun Masjid Andalusia tidak bernaung di bawah pengurusan Maik, namun prosedur yang ditetapkan pihak berkuasa agama negeri tetap dipatuhi.

Katanya, tenaga pengajar atau penceramah yang mengendalikan kuliah di masjid juga wajib memiliki tauliah daripada Maik.

“Setiap program akan dimaklumkan kepada Maik dan kami hanya membenarkan penceramah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” ujarnya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN