BANDAR GAZA – Sebuah hospital di Gaza menyatakan hari ini bahawa angka kematian akibat serangan udara Israel ke atas sebuah sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang didakwa menempatkan ‘pekarangan Hamas’ meningkat kepada 37 orang.
Hospital Syahid Al-Aqsa di Deir al Balah menerima ‘37 syahid’ akibat serangan itu, meningkat berbanding angka awal 27 orang yang diberikan oleh pejabat media Hamas.
Tentera Israel berkata, sebuah jet pejuang Israel melakukan ‘serangan tepat’ ke atas pekarangan Hamas yang berada di sebuah sekolah UNRWA di kawasan Nuseirat’, tengah Gaza.
UNRWA merupakan agensi PBB yang membantu pelarian Palestin.
Seorang pegawai perubatan di hospital Syahid Al-Aqsa berkata, satu lagi serangan Israel pada waktu malam yang menyasarkan sebuah rumah di kem pelarian Nuseirat, menyebabkan enam orang terbunuh, manakala sebilangan yang lain cedera. – AFP














