fbpx

SPRM, TNB kerjasama atasi kecurian aset, tenaga elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azam (tengah) bersama Megat Jalaluddin (kiri) dan Abdul Razib (kanan) pada Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik di Malaysia di Pusat Konvensyen Leo Moggie hari ini. FOTO AMIR KHALID/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meningkatkan kerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi mengatasi isu kehilangan tenaga elektrik akibat kelompongan sistem dan prosedur.

Kerjasama itu dibuat Menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bersama Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif ST, Datuk Abdul Razib Dawood.

Menurut Azam, kerjasama itu telah dimulakan pada 2022 susulan siasatan melibatkan sindiket bitcoin yang mencuri tenaga elektrik milik TNB menyebabkan kerugian sehingga RM2.3 bilion.

“Isu ketirisan ini berlaku akibat rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kecuaian pihak tidak bertanggungjawab. Hala tuju dan sasaran SPRM tahun ini adalah mengurangkan ketirisan demi meningkatkan hasil negara.

“Kerjasama SPRM dengan agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mengenalpasti kelemahan tadbir urus yang wujud dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti pengurusan, pentadbiran dan perolehan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik di Pusat Konvensyen Leo Moggie, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azam berkata, kerjasama itu membolehkan SPRM memberi cadangan penambahbaikan dari aspek tatakelola sekali gus menyelamatkan wang rakyat.

“SPRM mencadangkan pemasangan ‘barrel lock’ pada kotak meter di premis pengguna di kawasan berisiko bagi mengurangkan kerugian akibat kecurian tenaga elektrik dan pengubahsuaian meter.

“Selain itu, pemasangan sistem biometrik secara bersasar kepada ‘feeder pillar’ bagi memastikan rekod keluar masuk secara bersistem termasuk pemasangan televisyen litar tertutup (CCTV) di pencawang masuk utama,” ujarnya.

Katanya, beliau yakin dengan usaha terbabit, risiko kecurian dapat dikurangkan selain memberi manfaat kepada syarikat dalam membendung kerugian.

“Usaha ini turut memberi manfaat kepada rakyat apabila tiada lagi risiko gangguan elektrik yang mungkin berlaku disebabkan aktiviti curi tenaga elektrik,” jelasnya.

Tambahnya, daripada tindakan pencegahan yang dilaksanakan sebelum ini, TNB dapat mengurangkan kerugian sebanyak 10.02 peratus bagi 2022 dan 9.25 peratus pada 2023. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI