fbpx

Malaysia Masters: Zii Jia selangkah rangkul gelaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA dengan gaya tersendiri meraikan kejayaan melangkah ke perlawanan akhir Malaysia Masters selepas menewaskan Ka Long sebentar tadi. - SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia berpeluang meraih gelaran kedua berturut-turut musim ini selepas melangkah ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters.

Lebih manis, ia merupakan final pertama pemain No.10 dunia itu di gelanggang sendiri dan ia pastinya menjadi pembakar semangat buat Zii Jia bagi memburu gelaran keduanya bagi saingan 2024.

Pada separuh akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi, Zii Jia menampilkan aksi cukup bertenaga apabila menewaskan jaguh Hong Kong, Ng Ka Long menerusi keputusan straight set 21-15, 21-17.

“Badan saya sekarang cergas, asalkan tidak ada sebarang kecederaan serius. Perlawanan hari ini, saya tidak sangka boleh menang set kedua kerana jurulatih sebenarnya sudah mahu saya bersedia untuk set ketiga.

“Bagaimanapun, saya cakap kepada diri sendiri supaya cuba kejar pemain lawan. Ketika itu, keadaan semakin baik untuk saya dan berjaya catat kemenangan,” katanya ketika ditemui sebaik tamat perlawanan.

Aksi final esok pastinya dinanti-nantikan seluruh peminat badminton apabila bakal mempertemukan Zii Jia dan seteru utamanya yang merupakan pemain No.1 dunia dari Denmark, Viktor Axelsen.

“Buat masa sekarang, saya tidak fikir sangat mengenai final esok kerana mahu tenangkan diri, berehat, makan dan memastikan badan kembali segar. Lebih manis ia adalah di laman sendiri dan saya tidak sabar untuk bermain di final,” ujar Zii Jia.

Pada Terbuka Thailand minggu lalu, Zii Jia merangkul gelaran pertamanya musim ini selepas turut menewaskan Ka Long di perlawanan akhir.

Mengiringi Zii Jia di perlawanan akhir esok adalah beregu profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang akan membuat perhitungan menentang pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari.

Pada aksi separuh akhir hari ini, beregu No.18 dunia itu mempamerkan persembahan menakjubkan apabila membenam rakan senegara yang juga pilihan utama kejohanan, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei 21-11, 21-19. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI