fbpx

Tiada lagi disko bergerak dalam kereta api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony ketika bercakap pada sidang akhbar yang diadakan semasa melakukan lawatan kerja ke Wisma Monorail Kuala Lumpur, hari ini. -Foto oleh SYAKIR RADIN

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) bertindak tegas memperketatkan lagi garis panduan bagi aktiviti tren sewa khas (Charter Train) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia bagi mengelakkan kejadian tular membabitkan program kontroversi festival hiburan, Pinkfish Express pada 16 Mei lalu, berulang.

Jelas beliau, perincian bagi acara yang diadakan itu adalah di luar pengetahuan KTMB kerana ia mungkin tidak dinyatakan dengan jelas terlebih dahulu.

“KTMB memang telah nyatakan sejak tahun 2021 tren itu disewa khas untuk aktiviti korporat dan sebagainya. Juga telah tetapkan garis panduan seperti tiada minuman alkohol dan beberapa lagi.

“Walaupun syarat dah ditetapkan, kadang-kala apa yang berlaku adalah di luar kawalan. KTMB telah jelaskan, mereka akan lebih tegas dan berhati-hati dalam garis panduan terhadap acara yang diadakan di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Wisma Monorel Kuala Lumpur bagi memantau perkembangan projek menaik taraf fasiliti dan perkhidmatan laluan monorel, hari ini.

Terdahulu, tular sebuah video memaparkan penumpang mengadakan parti di dalam gerabak KTMB di media sosial.

Menerusi beberapa gambar dan klip video yang tular di pelbagai platform, kelihatan suasana gerabak meriah dengan lampu berwarna-warni selain terdapat pengunjung sedang menari sambil mendengar lagu dimainkan oleh DJ.

Difahamkan program dikenali sebagai Pinkfish Express yang berlangsung pada 16 Mei lalu itu merupakan festival hiburan pertama di Asia Tenggara diadakan di atas kereta api.

Susulan itu, KTMB memaklumkan, aktiviti dipilih perlu mengikut garis panduan dan terma-terma yang telah ditetapkan dan ia telah pun dipersetujui oleh pelanggan berkenaan.

“Merujuk kepada isu Charter Train pada 16 Mei 2024 yang membuat perjalanan pergi dan balik dari Stesen Kuala Lumpur ke Serendah, KTMB telah menetapkan beberapa syarat-syarat seperti larangan merokok, alkohol, penggunaan dadah dan tidak melakukan perkara yang boleh melanggar undang-undang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI