fbpx

Prasarana peruntuk RM50 juta naik taraf kemudahan 11 stesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony (kanan). -Foto oleh SYAKIR RADIN

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi kerja-kerja menaik taraf pelbagai kemudahan di stesen-stesen monorel.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia meliputi naik taraf beberapa kemudahan antaranya lif, pintu di antara platform dan monorel, tandas serta televisyen litar tertutup yang akan dilengkapi video analitik.

“Ada beberapa kelemahan yang dah dikenal pasti dan perlu diperbaiki antaranya kerosakan lif di stesen-stesen monorel. Daripada 21 lif di 11 stesen, tapi hanya tiga saja yang beroperasi.

“Ia perlu dilakukan berikutan monorel merupakan antara perkhidmatan utama yang menghubungkan laluan penting ke pusat-pusat perniagaan, beli-belah dan pejabat-pejabat utama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Wisma Monorel Kuala Lumpur bagi memantau perkembangan projek menaik taraf fasiliti dan perkhidmatan laluan monorel, hari ini.

Jelasnya, kontrak pembaikan telah pun dianugerahkan kepada kontraktor baharu dan ia antaranya melibatkan pembaikan lif di tiga stesen iaitu Imbi, Hang Tuah, dan Tun Sambanthan yang dijangka siap Oktober akan datang.

“Empat stesen lagi iaitu Raja Chulan, Bukit Nanas, Medan Tuanku dan KL Sentral pula menjelang Januari 2025. Tiga lagi stesen iaitu Chow Kit, Titiwangsa dan Maharajalela akan siap dibaiki menjelang April 2025” ujarnya.

Selain itu katanya, pintu-pintu antara platform serta monorel juga gagal berfungsi dengan baik dan akan dinaik taraf menerusi dua fasa.

“Fasa pertama melibatkan stesen KL Sentral, Tun Sambanthan, Maharajalela dan Hang Tuah yang dijangka siap pada Oktober ini. Fasa kedua untuk tujuh lagi stesen pula dijangka siap menjelang Disember tahun ini.

“Kita tidak mahu lagi ada kes penumpang jatuh atas trek disebabkan masalah pintu terutamanya dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) berikutan mereka ini ramai juga yang gunakan monorel,” tambahnya.

Dalam masa sama, beliau turut mengakui berlakunya kelewatan dalam kerja-kerja naik taraf berkenaan ekoran syarikat terdahulu yang dilantik, tidak lagi beroperasi.

“Syarikat lama dah dilantik semula untuk siapkan tetapi tidak lama selepas itu ia tidak lagi beroperasi menyebabkan kami terpaksa cari syarikat baharu untuk sambung buat.

“Saya faham ramai yang kecewa, saya pun sama sebab tu saya gesa Prasarana segerakan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI