PENYANYI asal United Kingdom, England, Henry Moodie tidak pernah menyangka pada usia 20 tahun dengan tempoh berkarier dalam dunia muzik sekadar lebih setahun, dia telah dikenali di seluruh dunia.
Langkah Moodie bermula menerusi single sulungnya, You Were There For Me yang melayakkan dirinya mendapatkan satu kontrak rakaman pada 2022.
Sebagai penyanyi baharu, Moodie melakar rekod cemerlang apabila lagu ciptaannya itu berjaya mencatat 160 juta strim di seluruh dunia dan berada dalam senarai 10 artis England paling ditonton dalam aplikasi TikTok pada 2022.
Momentum karier seninya mendadak naik apabila Moodie muncul dengan single hit iaitu Drunk Text yang merupakan antara lagu daripada album mini berjudul In All Of Lonely Night.
Berbicara tentang karier seninya, Moodie mengaku, cukup bertuah kerana nama dan muziknya dikenali dalam waktu yang cukup singkat.
“Bersyukur kerana perjalanan kerjaya saya bergerak sangat pantas. Lagu-lagu saya diterima dengan baik di seluruh dunia membuatkan saya berasa begitu terharu.
“Jujur saya katakan, tanpa media sosial saya tidak akan berada di sini hari ini. Single pertama saya meledak kerana TikTok.

“Disebabkan media sosial juga peminat dari seluruh dunia dapat mendengar lagu saya dan saya meraih populariti dalam waktu yang singkat,” katanya kepada HibGlam dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Moodie yang asalnya seorang YouTuber menjelaskan, meskipun media sosial memainkan peranan penting dalam kariernya, sebagai penyanyi dan pencipta lagu, dia mahu berkarya dari hati.
“Media sosial memang penting, saya dapat mempromosikan lagu dan aktiviti serta dapat berhubung dengan peminat dari seluruh pelosok dunia.
“Tetapi sebagai pengkarya, perkara paling penting adalah karya muzik itu sendiri. Sebab itu lagu-lagu saya adalah daripada pengalaman sendiri dan orang sekeliling saya.
“Bagi saya, lagu yang dicipta seikhlas hati akan mudah melekat di hati peminat kerana dekat dengan jiwa mereka,” kongsi Moodie yang mula mencipta lagu pada usia 12 tahun.

Taylor Swift
Berbicara lanjut tentang sumber ilhamnya dalam membikin muzik, Moodie menamakan bintang terkenal, Taylor Swift sebagai idolanya.
Biarpun perjalanan seni masih hijau, Moodie menyimpan impian mahu menjadi sehebat penyanyi lagu Cardigan itu.
“Saya sentiasa meminati karya-karya Taylor Swift. Dia sangat konsisten dalam penciptaan lagu untuk setiap album yang diterbitkan pada era dan usia berbeza.
“Begitu juga dengan Olivia Rodrigo dan Conan Gray, bagi saya muzik mereka sangat jujur dan bersifat peribadi.
“Perkara tersebut memberi inspirasi kepada saya,” tutur Moodie.
Populariti mendadak yang diraih Moodie telah menukar 360 darjah kehidupannya dalam tempoh yang begitu singkat.
Ditebak, bagaimana perubahan drastik sebegitu ditangani dan disesuaikan mengikut acuan hidup dan tiba-tiba menjadi orang popular, Moodie hanya ketawa sebelum memberikan jawapan.
“Kehidupan saya memang berubah secara total, semakin sibuk dengan persembahan dan jelajah ke luar negara.
“Tetapi perubahan tersebut sangat positif. Saya masih individu yang sama cuma pada usia muda saya telah meraih pelbagai pengalaman luar biasa, termasuk bertemu dengan ramai insan hebat.
“Paling penting saya suka dengan pekerjaan yang saya lakukan. Inilah impian saya mahu berkongsi ‘rasa’ muzik itu bersama ramai orang,” tutur Moodie.

Malaysia
Dalam kunjungan Moodie ke Malaysia baru-baru ini, dia sama sekali tidak menyangka memiliki begitu ramai peminat di sini.
Peminat sanggup bersesak demi menyaksikan persembahan percumanya yang diadakan di pusat beli-belah The Exchange TRX Kuala Lumpur awal Mei lalu.
“Saya sangat terkejut melihat jumlah peminat yang datang adalah dua kali ganda daripada jangkaan.
“Melihat mereka semua menyanyi bersama membuatkan saya rasa diterima di sini. Saya seronok dan gembira dapat berkunjung ke Kuala Lumpur,” kata Moodie.
Selain Kuala Lumpur, Moodie juga melakukan persembahan percuma yang sama di Manila, Filipina dan Jakarta, Indonesia.
Jelas Moodie, tujuan mengadakan persembahan percuma bukan kerana pihaknya tidak yakin dengan sambutan peminat, tetapi itu adalah sebagai hadiah kepada penyokongnya.

“Menerusi persembahan percuma, semua peminat tidak kira tahap kewangan mahupun latar belakang dapat sama-sama menikmati muzik saya secara langsung,” kongsi Moodie.
Sebelum menutup bicara, Moodie muncul dengan single berjudul Beat Up Car menjelaskan, dia akan terus berkarya dan menulis lagu bukan semata-mata demi karier bahkan sebagai satu terapi untuk diri dan peminat.
“Sejak kecil memang saya ingin menjadi penulis lagu kerana bagi saya menulis lagu ibarat sebuah terapi untuk diri sendiri.
“Diharap dalam tempoh lima tahun akan datang saya masih sibuk dengan konsert jelajah dan peminat masih mahu mendengar muzik ciptaan saya.
“Saya membayangkan saya akan terus membikin muzik seumur hidup dan memiliki banyak album,” tutup Moodie.

















