fbpx
ADA sesetengah spesies ikan tidak dapat bertahan dengan suhu air lebih panas daripada kebiasaan. – Gambar hiasan

K2

Peningkatan suhu air sebabkan ikan ‘pengsan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERUBAHAN iklim menyebabkan lonjakan paras laut, mengubah corak cuaca dan membawa kepada lebih banyak bencana alam.

Keadaan ini memberi kesan negatif kepada ekosistem, kepelbagaian biologi dan kesihatan manusia.

Bagaimanapun, dengan memahami kesan perubahan iklim terhadap ekosistem akuatik dan spesies ikan, kita boleh berusaha mengurangkan kesan berkenaan.

Penggubal dasar, ahli alam sekitar dan individu terlibat dalam pengurusan akuakultur atau perikanan perlu memainkan peranan penting dalam melindungi ekosistem akuatik serta spesies ikan yang bergantung kepada ekosistem sihat.

Apabila dunia semakin panas akibat perubahan iklim, air sungai dan tasik kita juga semakin panas.

Ini kerana, badan air menyerap haba dari udara sekeliling dan apabila suhu udara meningkat, suhu air juga meningkat. Suhu air yang tinggi boleh mengganggu tingkah laku dan kemandirian ikan dan spesies akuatik lain.

Sebagai contoh, sesetengah spesies ikan yang sensitif mungkin tidak dapat bertahan dengan suhu air yang lebih panas daripada kebiasaan.

Ia akan menyebabkan ikan mati seterusnya mengurangkan populasi hidupan akuatik yang membawa kepada kepupusan, dan akhirnya berlaku penurunan ketara dalam biodiversiti.

Sebagai contoh, ikan kelah hanya boleh hidup dalam air sungai bersuhu antara 22 hingga 24 darjah Celsius.

Kelangsungan hidup kelah terancam akibat peningkatan suhu air akibat pemanasan global.

Ia merupakan satu fakta yang sepatutnya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli alam sekitar dan pembuat dasar.

Contoh lain adalah ikan unik di Sungai Perak iaitu loma yang memerlukan suhu air antara 25 hingga 28 darjah Celsius untuk bermandiri.

Ikan loma akan mula berhijrah daripada hilir ke hulu sungai dan mula bertelur apabila suhu air bersesuaian.

Namun, jika suhu air meningkat, ikan akan mula berubah sikap. Ikan tidak lagi bertelur pada musim bertelur kerana suhu air tidak sesuai untuk telur ikan.

Selain daripada itu, ikan mungkin sukar bernafas, mengalami kejutan seakan-akan ‘pengsan’ seperti manusia.

Ketika suhu air meningkat, kadar metabolisme ikan juga bertambah.

Ini bermakna, organ badan ikan bekerja lebih cepat, memerlukan lebih banyak oksigen untuk mengekalkan fungsi badan mereka.

Jika suhu air terus meningkat serta permintaan oksigen dalam air melebihi bekalan yang ada, ikan boleh menjadi lesu, pengsan dan akhirnya mati akibat kekurangan oksigen.

Sesetengah ikan Malaysia terkenal dengan penyesuaian yang baik dengan suhu air lebih tinggi, terutamanya spesies di bahagian hilir sungai.

Walaupun julat suhu air yang ideal untuk kebanyakan spesies ikan adalah antara 25 dan 28 darjah Celsius, namun sesetengah ikan memerlukan suhu air bersesuaian untuk bermandiri.

Misalnya kap, ikan ini boleh hidup subur pada suhu air antara 23 hingga 26 darjah Celsius.

Suhu air seperti sungai dan tasik semakin meningkat disebabkan perubahan iklim global. – Gambar hiasan

Selain itu, ikan rohu lebih suka suhu 28 darjah Celsius. Ikan cichlid biasanya lebih suka suhu antara 23 hingga 28 darjah Celsius, dan ikan betta lebih suka suhu antara 24 hingga 29 darjah Celsius.

Bagaimanapun, jika suhu air melebihi 30 darjah Celsius, ikan di Malaysia pun akan mengalami pelbagai masalah termasuk tekanan, pertumbuhan tidak normal serta kemerosotan kimia dalaman.

Kesan kenaikan suhu air tidak sama untuk semua ikan. Ikan liar dengan keupayaan berhijrah atau berpindah ke air yang lebih sejuk apabila perlu mempunyai tahap kebolehsuaian tertentu.

Namun, ini bukan pilihan untuk ikan dalam sangkar akuakultur.

Ikan ini biasa hidup dalam keadaan stabil yang disediakan oleh persekitaran.

Ini bermakna, ikan-ikan mengalami lebih banyak tekanan akibat perubahan suhu air.

Keadaan ini boleh menjejaskan kesihatan dan kadar kelangsungan hidup ikan secara negatif.

Ikan dalam sangkar akan lebih cepat mati berbanding ikan liar.

Adalah disyorkan agar semua pihak dapat melaksanakan strategi untuk memelihara alam semula jadi.

Strategi pemuliharaan mesti dilaksanakan untuk mengurangkan kesan peningkatan suhu air sungai dan tasik.

Ini termasuk melindungi tumbuh-tumbuhan riparian yang memberikan teduhan di tebing sungai dan tasik, memulihkan tanah lembap yang bertindak sebagai penyejuk semula jadi dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau untuk memerangi pemanasan global.

Selain itu, mewujudkan habitat buatan dan mengawal aliran air dari empangan boleh membantu mengekalkan suhu yang sesuai untuk kemandirian ikan.

Bagi penternak ikan air tawar yang menternak di dalam kolam atau sangkar di tasik atau sungai, mereka disarankan agar membuat pengudaraan air untuk meningkatkan tahap oksigen dalam air.

Ia berfungsi mengurangkan suhu air apabila meningkat tinggi.

Menyediakan kawasan teduhan di atas kolam dan sangkar menggunakan struktur semula jadi atau tiruan untuk mengurangkan cahaya matahari langsung.

Selain itu, sentiasa menukar sebahagian daripada air kolam dengan air yang lebih sejuk untuk mengekalkan suhu stabil.

Penternak ikan boleh memastikan sangkar digantung pada kedalaman yang sesuai kerana suhu air boleh berubah mengikut kedalaman.

Penternak ikan kolam dan sangkar juga boleh menanam tumbuhan air yang boleh memberi naungan serta membantu mengawal suhu air.

Selain itu, penternak ikan perlu mengurangkan pemberian makanan semasa suhu tinggi kerana metabolisme ikan meningkat dan paras oksigen terlarut menurun.

Akhirnya, sentiasa melaksanakan pemantauan kualiti air termasuk suhu air dan paras oksigen terlarut air secara berkala untuk mengambil tindakan tepat pada masanya.

Secara kesimpulannya, gelombang haba bukan dirasai oleh manusia di daratan, malah ikan-ikan di dalam air.

Perubahan suhu juga memberi kesan terhadap spesies ikan di perairan Malaysia sama ada perairan air tawar atau masin.

Sebagai penjaga alam sekitar, sudah menjadi tanggungjawab kolektif kita untuk menangani isu perubahan iklim dan melindungi masa depan hidupan air terutamanya ikan dalam ekosistem akuatik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN