fbpx

Malaysia berduka tragedi menimpa Presiden Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar memuat naik gambar pertemuan beliau dan Presiden Raisi di laman Facebook hari ini.

PETALING JAYA – Malaysia berduka di atas insiden pesawat di wilayah utara Iran melibatkan Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan delegasi kepemimpinan negara itu termasuk Menteri Luar, Hossein Amir-Abdollahian.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia bersedih atas malapetaka yang menimpa negara sahabat Iran tersebut.

“Operasi mencari dan menyelamat telah digerakkan semalam dan pasukan penyelamat telah mengumumkan bahawa Presiden Raisi, Menteri Luar dan delegasi ditemui maut dalam nahas tersebut.

“Doa dan solidariti buat rakyat Republik Islam Iran dan semoga Allah S.W.T mengampuni dosa mereka dan memberi tempat yang istimewa di sisiNya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, media luar negara melaporkan Presiden Iran disahkan meninggal dunia selepas helikopter dinaiki beliau terhempas di sebuah kawasan pergunungan di Iran.

Menurut agensi berita Iran, IRINN dan Mehr News, tiada mangsa yang terselamat ditemui di lokasi nahas helikopter itu.

Reuters melaporkan, seorang pegawai kerajaan Iran memaklumkan bahawa helikopter yang hilang itu ditemui ‘terbakar sepenuhnya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau sempat bertemu Presiden Raisi di New York, Amerika Syarikat tahun lalu dan mereka menekuni pelbagai perkara yang dekat dengan kedua-dua negara.

Menurutnya, Presiden Raisi menonjolkan sikap terbuka, tetapi tegas terutama dalam soal pembangunan rakyat Iran serta mempunyai keupayaan tinggi dalam memelihara Iran sebagai negara dan tamadun yang kuat.

Ujar Anwar, beliau selesa bekerjasama dengan Presiden Raisi dan tragedi itu tentunya menyedihkan dan meninggalkan bekas yang mendalam terutama dalam perjuangan membela warga Palestin. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI