fbpx
IMPIAN Siti Nordiana untuk beraksi solo dalam sebuah persembahan istimewa terlestari menerusi konsert Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun sekali gus melengkapkan portfolio karier seninya.

Siti Nordiana penyanyi kampungan paling comel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LETAKLAH apa sahaja gelaran kepada Siti Nordiana Alias, jolokan penyanyi kampungan atau nakalnya disebut ‘leman’ tidak sesekali menjadi kudis buatnya.

Melihat perjalanan penuh berliku dilalui wanita yang mesra disapa Nana itu sebaik memilih terjun ke arena seni suara hampir tiga dekad lalu, tiada kekangan mampu menghalang langkahnya.

Selain bersandarkan hanya pada bakat saat mula-mula bertatih mengejar impian, sehingga kini sokongan peminat tegar yang menyayanginya tanpa syarat diakui sebagai pendorong untuk Nana berada pada tahap sekarang.

JUDUL seperti Seribu Setia, Bukan Mengungkit Tapi Membangkit, Kasihmu Seakan Berubah, Arah Cinta, Nisan Cinta, Angkata, Terus Mencintaimu dan Hatiku Milikmu menjadi seleksi dendangan istimewa Nana semasa konsertnya.

Jubli perak

Konsert Memori Berkasih 25 Tahun Siti Nordiana yang berlabuh di Zepp Kuala Lumpur hujung minggu merupakan bukti imbuhan terhadap jiwa kental miliknya.

Melihatkan aksinya termasuk cara komunikasi dengan khalayak, kematangan penyanyi berusia 40 tahun itu di pentas mega tidak boleh dipertikaikan.

Mengenali Nana sebagai wanita dan penghibur dari segenap transisi hidup, menghitung pengalamannya menghibur peminat sejak zaman persekolahan, sememangnya dia layak berada di pentas sebuah konsert solo.

Begitupun, biar semakin matang dalam karier, bagi pengikut tegar yang selalu ada pada setiap peralihan fasa perkembangannya, Nana tetap comel di mata mereka.

Bahkan, sepanjang konsert berdurasi dua jam tersebut, telatah dan celotehnya yang menggelarkan diri ‘mader’ atau ibu kepada peminat membuatkan suasana terasa santai dan intim.

NANA menghadirkan sebuah perasaan istimewa, keakraban dan kemanisan yang dikongsi bersama peminat setianya menerusi konsert Memori Berkasih yang barangkali terindah selama hayat kariernya.

Hargai SNFC

Setiap patah bicaranya sangat mesra bersulam gurauan menyerlahkan personalitinya selaku penghibur yang mudah didekati.

Di bahagian bawah pentas pula kelihatan peminat yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia, malah ada peminat cilik lingkungan umur sekitar enam tahun lancar berdendang bersamanya.

Sesekali Nana rancak mengusik khalayak, selain mendedikasikan penghargaan terhadap peminatnya yang menggelarkan diri mereka Siti Nordiana FC (SNFC).

Tidak hairan, konsert tersebut meninggalkan kenangan terindah buat semua, terutama SNFC yang selama konsert berlangsung ikut menyanyi bersamanya sehingga penghujung persembahan.

Pastinya, gelanggang yang menjadi saksi pelbagai konsert artis dalam dan luar negara itu bergema dengan paduan suara penonton bermula daripada lagu pertama, Amaran hingga terakhir, Paling Comel.

Siti Nordiana turut menyampaikan lagu Tak Upaya Menangis Lagi, Seribu Setia, Pelukanmu, Cinta Hanya Sandaran, Bukan Mengungkit Tapi Membangkit, Kasihmu Seakan Berubah, Arah Cinta, Nisan Cinta, Angkata, Terus Mencintaimu dan Hatiku Milikmu.

Tidak ketinggalan, portfolio sebagai penyanyi serba boleh ditunjukkan dalam segmen irama Malaysia menerusi lagu Benang Emas, Zapin Pak Ngah Balik, Bakawali dan Joget Pilihan Jiwa.

Emosi penonton turut tersentuh apabila konsert menyelitkan tayangan video istimewa yang mengimbau semula kenangan pahit manis sepanjang bergelar anak seni.

Persembahan yang diiringi pemuzik latar The Romeo yang terdiri daripada Johan Shamsudin selaku pengarah muzik, Eddie Slam, Ujang Exists, Wan Gigi, Kabung, Rizal dan Paang itu bertukar syahdu ketika segmen penghargaan kepada Allahyarham Achik Spin.

KONSERT Memori Berkasih 25 Tahun Siti Nordiana adalah persembahan mega solo pertama penyanyi itu.

Duet dengan Achik

Nana mengembalikan nostalgia kegemilangan mereka sebagai teman duet serasi bersama lagu Memori Berkasih yang dilancarkan sekitar 2001.

Dia memilih untuk berduet dengan rakaman asal lagu itu sendiri tanpa menjemput penyanyi undangan sekali gus menjadi kejutan manis buat khalayak.

Menerusi lagu Resipi Berkasih dan Gurauan Berkasih pula, Nana mengajak peminat menjadi penyanyi jemputan serta rakan duetnya.

Pada masa sama, Nana juga tanpa henti merakamkan ucapan terima kasih kepada peminat, rakan media, pemuzik serta semua penonton yang memeriahkan lagi konsert berkenaan.

“Sepanjang karier saya banyak memori pahit yang saya lalui, dan konsert ini akan terus berada dalam lipatan memori berkasih saya.

“Alhamdulillah akhirnya tercapai juga cita-cita saya nak buat konsert selepas 25 tahun dalam industri. Konsert ini tak lain tak bukan adalah untuk anda semua.

“Terima kasih datang dari jauh dan terima kasih terima saya seadanya. Terima kasih terima segala kekurangan saya dan ada masa jatuh bangun saya, insya-Allah saya terus berkarya kerana sokongan anda semua,” katanya.

Melihatkan sambutan dan berada dalam lingkungan aura konsert penyanyi yang sentiasa comel ini, dapat diterjemahkan betapa besar kasih sayang Nana terhadap peminatnya.

KONSERT Memori Berkasih 25 Tahun Siti Nordiana dibahagiakan kepada beberapa segmen, antaranya Irama Malaysia serta tiga dendangan untuk Allahyarham Achik Spin yang menyentuh kalbu.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN