fbpx

Isteri sempurna, Aeril Zafrel tak pernah terdetik curang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aeril tidak pernah terdetik untuk berlaku curang terhadap isteri tersayang, Wawa Zainal yang banyak berkorban buatnya.

BANGI – Tidak pernah terdetik untuk membuka ruang kepada wanita lain, pelakon Aeril Zafrel mengakui kejelitaan isteri yang sempurna di matanya antara faktor pandangan sentiasa terpelihara.

Ujar Aeril atau nama sebenar Suhairil Sunari, 35, bersyukur atas kurniaan teman hidup seistimewa Wawa Zainal mengingatkannya agar jangan merosakkan kebahagiaan dengan berlaku curang.

“Saya beruntung sebab punya isteri secantik Wawa bukan sahaja suri sempurna, bahkan menjadi ibu berkerjaya yang mampu mendidik anak-anak biar sesibuk mana pun dengan kerja.

“Ketenangan dan kebahagiaan yang kami miliki ini tidak mungkin saya gadaikan hanya disebabkan keseronokan sementara.

“Memang tak pernah terniat curang. Kalau ada bisikkan, saya cepat-cepat ingat isteri dan anak-anak,” katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka Wawa Cosmetics, baru-baru ini.

Menurut ahli perniagaan itu, sepanjang 12 tahun bergelar suami isteri, semua perkara dilalui bersama tidak kira ketika susah mahupun senang.

Kata Aeril, tidak mungkin dia melupakan pengorbanan Wawa apatah lagi merosakkan kepercayaan selama ini.

Pada masa sama, dia juga percaya terhadap kifarah sehingga sentiasa mengingatkan diri agar menjadi ketua keluarga yang baik buat anak dan isteri.

“Wawa setia dengan saya selama ini dan sudah tentu saya selalu ingatkan diri supaya jangan buat hal, nanti kena kifarah.

“Kalau sekali terkhilaf, memang susah dapatkan kepercayaan kembali, belum lagi dapat kifarah. Jadi elakkan ‘nakal’,” ujarnya.

Mengenai rumah terbuka yang dihadiri sekitar 500 tetamu pula, kata Aeril acara tahunan tersebut adalah untuk meraikan pekerja, rakan niaga serta kenalan mereka.

Aeril dan Wawa merupakan antara pasangan selebriti yang dijadikan contoh mampu menjaga kerukunan rumah tangga biarpun berdepan pelbagai ujian.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 25 Februari 2012 dan dikurniakan empat cahaya mata. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI