fbpx

Rayuan Siti Bainun ketepi sabitan abai, aniaya Bella diketahui esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Bainun ketika hadir di Mahkamah Tinggi pada prosiding Mac lalu.

KUALA LUMPUR – Keputusan rayuan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali bagi mengetepikan sabitan bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Bella, akan diketahui esok di Mahkamah Tinggi di sini.

Keputusan itu akan dibaca oleh Hakim Datuk Noorin Badaruddin yang sebelum ini telah mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak.

Pada prosiding hujahan yang berlangsung pada 7 Mac lalu, peguam Haijan Omar, Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor dan Nurul Hafidzah Hassan mewakili Siti Bainun selaku perayu manakala Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin yang bertindak sebagai responden.

Sementara itu peguam Haijan ketika dihubungi mengesahkan keputusan rayuan itu akan berlangsung esok seperti ditetapkan.

Sebelum ini mahkamah telah menetapkan 24 April lalu untuk memberikan keputusan namun tarikh tersebut dilapangkan dan ditangguhkan ke esok.

Pada 3 Mei tahun lalu Siti Bainun, 32, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella yang disabitkan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan remaja tersebut cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini pada Februari hingga Jun 2021.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara 12 tahun. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.

Selain hukuman penjara, Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Ketika itu, Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan Siti Bainun gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dua pertuduhan tersebut.

Pada masa sama, mahkamah turut menolak permohonan Siti Bainun untuk menangguhkan hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan ke atasnya sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Berikutan itu, Siti Bainun menjalani hukuman penjara serta-merta di Penjara Kajang bermula tarikh disabitkan dengan kesalahan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI