NEGARA mencatatkan sebanyak 598,635 kes kemalangan jalan raya bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Disember tahun lalu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 5,984 kes kemalangan maut dilaporkan dengan jumlah individu meninggal dunia seramai 6,433 orang, sekali gus merekodkan angka tertinggi dalam tempoh lima tahun.
Kes kemalangan parah pula mencatatkan sebanyak 2,331 kes, kemalangan ringan 28,511 kes dan bakinya melibatkan kerosakan pada kenderaan.
Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan sebelum ini dilaporkan berkata, kira-kira 90 peratus kemalangan jalan raya dikatakan berpunca daripada sikap acuh tak acuh pemandu dalam mematuhi peraturan ditetapkan.
Katanya, perbuatan tidak bertanggungjawab itu mampu mengundang kepada risiko kemalangan, seterusnya mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Sembilan kesalahan utama yang dikenal pasti menjadi punca kemalangan termasuk kemalangan maut adalah tidak mematuhi had laju, tidak mematuhi isyarat lalu lintas lampu merah, memotong di garisan berkembar dan memandu di lorong kecemasan.
Lima lagi ialah memotong barisan, menggunakan telefon bimbit, tidak memakai tali pinggang keledar/topi keledar, memandu kenderaan berat di lorong laju dan lebih muatan.
Menggunakan telefon bimbit semasa memandu antara kesalahan yang paling banyak dilakukan pengguna jalan raya.
Apa yang mengejutkan, pemandu bas ekspres antara yang dikesan menggunakan telefon bimbit untuk melayari TikTok, selain ada yang melakukan panggilan video sepanjang perjalanan.
Tindakan itu sangat tidak bertanggungjawab kerana ia bagaikan mempertaruhkan nyawa ramai penumpang bas sekiranya terlibat kemalangan.
Baru-baru ini dalam Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (Ops Khas HRA), JPJ Kedah menerusi penyamaran berjaya mengesan tiga pemandu bas ekspres yang dalam perjalanan dari Terminal Bas
Shahab Perdana, Alor Setar ke Ipoh, Perak dan Kuala Lumpur ‘asyik’ bermain TikTok.
Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Shahrul Azhar Mat Dali, pihaknya terkejut dengan sikap sambil lewa pemandu itu sedangkan pihaknya telah melakukan pertemuan dengan operator serta pemandu bas berhubung pematuhan peraturan jalan raya.
“Tindakan itu sangat berbahaya kerana ia boleh mengakibatkan mereka terleka dan hilang tumpuan seterusnya berisiko berlaku kemalangan,” ujarnya.
Kata beliau, pihaknya akan terus melakukan pemantauan dan penguatkuasaan ke atas semua kenderaan.
“Semua pihak iaitu operator dan pemandu bas juga perlu mempunyai kesedaran tinggi dengan tidak melanggar peraturan jalan raya termasuk menggunakan telefon bimbit semasa memandu,” tambahnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, penggunaan telefon bimbit semasa memandu menjadi antara punca utama berlaku kemalangan.
“Saya tengok banyak kemalangan pada hari ini disebabkan guna telefon bimbit semasa memandu. Bercakap di telefon semasa memandu sudah berbahaya, apatah lagi jika bermain TikTok, risiko berlaku kecelakaan jalan raya sangat tinggi,” katanya.














