fbpx
AKHBAR memaklumkan, SPRM perlu diberi kebebasan untuk menyiasat kes rasuah di negara ini. – Gambar hiasan

Rasuah ‘ibu’ segala masalah negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KES rasuah di negara ini boleh diibaratkan seperti isu yang tidak pernah habis dan berkesudahan walaupun pelbagai tindakan diambil oleh pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Hakikatnya, rasuah akan menjadi ‘barah’ berbahaya jika gejala itu terus dibiar menular dalam kalangan masyarakat.

Justeru, kerajaan digesa mengambil tindakan tegas dan drastik dari sudut perundangan sebagai ‘vaksin’ untuk mencegah rasuah dan bukannya sekadar memberi amaran.

Bagi mengupas lebih lanjut mengenai gejala rasuah di negara ini, wartawan Kosmo! Ahad, SAIRUL ZAMRI MISRANI berkesempatan menemu bual Pengasas Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia merangkap Presiden Persatuan Integriti dan Tadbir Urus Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Secara keseluruhan, bagaimana Datuk melihat gejala rasuah dalam masyarakat di negara ini?
AKHBAR: Rasuah di negara ini sangat serius tetapi masih terkawal dengan kecekapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM, pimpinan serta iltizam politik negara.

Rasuah boleh dikurangkan jika kerajaan betul-betul ikhlas dan memahami bahawa gejala rasuah akan memberi impak tidak baik kepada kestabilan politik, ekonomi dan masalah sosial.

Kekalkan beri kuasa penuh kepada SPRM menjalankan tugas dengan telus dan bebas. Begitu juga institusi lain termasuk Jabatan Peguam

Negara dan badan kehakiman hendaklah bersama-sama dengan kerajaan dan SPRM untuk memastikan rasuah tidak bertambah menular.

Bagi memastikan tiada penjenayah ulangan (perasuah) dan orang ramai takut melakukan rasuah, pastikan hukuman setimpal dijatuhkan kepada pesalah rasuah di bawah Akta SPRM 2009 dan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Pesalah rasuah berprofil tinggi lebih takut masuk penjara, sebaliknya mereka sanggup membayar jumlah denda tinggi. Kes rasuah ini melibatkan wang rakyat dan negara.

Menurut Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023 yang diumumkan oleh Transparency International Malaysia (TI-M) Januari lalu, Malaysia berada di kedudukan 57 dalam CPI bagi tahun 2023 berbanding kedudukan 61 pada 2022. Ada sedikit peningkatan. Apakah cerminan kepada kedudukan ini?
Skor CPI daripada 47 kepada 50 per 100 iaitu naik tiga mata adalah terbaik setelah kejatuhan sejak tahun 2020. Berdasarkan ukuran itu, kenaikan tiga mata itu adalah ‘significant improvement’.

Peningkatan ini baik sebab elit ekonomis yang terlibat dalam kajian percaya bahawa kerajaan boleh memerangi rasuah.

Bagi memperbaiki CPI ini, kerajaan perlu kekal menentang rasuah secara habis-habisan. Biar SPRM menjalankan siasatan secara telus dan tiada campur tangan politik dalam siasatan.

Cuma kedudukan CPI ini bukan sahaja diambil kira oleh kejayaan SPRM menjalankan penguatkuasaan, tetapi ia juga melihat kepada isu melibatkan kestabilan politik, komitmen kerajaan menentang rasuah, undang-undang, dana politik, birokrasi dan kebebasan bersuara.

Justeru, ia memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, SPRM, pembaharuan (reform) dan sokongan semua rakyat.

Bagaimanakah Datuk melihat usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan ketika ini dalam membanteras rasuah di semua peringkat?
Kerajaan ketika ini berada pada landasan betul bagi menentang kegiatan rasuah, selain isu kos sara hidup dan tadbir urus yang baik.

Rasuah adalah ‘ibu’ kepada segala masalah yang melibatkan ketidakstabilan politik, ekonomi dan sosial. Penekanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kes-kes rasuah termasuk berprofil tinggi sejak mengambil alih tampuk kepimpinan nampaknya menunjukkan keseriusan.

Strategi ini berfokus kepada usaha membantu meningkatkan semula ekonomi negara dengan mengurangkan ketirisan dan mengembalikan kekayaan negara.

Kajian MIER Research memberi anggaran Malaysia berdepan dengan jumlah kerugian sebanyak RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun disebabkan rasuah dan ketirisan.

Manakala, kajian Transparency International Malaysia menunjukkan negara kerugian RM60 bilion setahun disebabkan rasuah.

Dengan RM1 bilion kerajaan dapat mewujudkan 800 hingga 1,000 katil hospital atau 40 buah sekolah atau sepanjang 66,000 kilometer jalan di kampung.

Sebelum ini, kita selalu melihat orang yang kena dakwa sebab rasuah hanya ‘ikan bilis’. Kini, tokoh-tokoh besar turut diheret ke mahkamah termasuk kes-kes rasuah lama. Adakah usaha ini sesuatu yang positif?
Perdana Menteri dan Ketua Pengarah SPRM ada iltizam politik yang kuat untuk mengurangkan serta memerangi rasuah.

SPRM adalah satu-satunya agensi di dunia yang melakukan siasatan terhadap dua bekas Perdana Menteri dan seorang Timbalan Perdana Menteri sehingga kes dibawa ke mahkamah.

Ini adalah satu kejayaan yang sangat besar dan bukan kerja mudah.

Kes rasuah tidak ada had masa. Sesiapa sahaja yang melibatkan diri dalam rasuah boleh disiasat dan didakwa pada bila-bila masa sekiranya terdapat bukti dan keterangan.

Nampak gaya kerajaan ada iltizam politik untuk menghapuskan rasuah dan mendapatkan balik wang rasuah kepada negara melalui Akta

Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Tokoh-tokoh yang disiasat itu juga telah lama dipertikaikan kekayaan mereka. Siasatan SPRM biasanya disebabkan dua perkara iaitu menyiasat dan mencari bahan bukti dan satu lagi boleh menjernihkan nama seseorang disyaki. Jika kita tidak bersalah, tidak usah takut kepada siasatan.

Rasuah tidak lagi melibatkan pemberian wang terus atau pemindahan wang melalui akaun. Sebaliknya, ada 1,001 macam lagi cara pemberian rasuah. Apakah taktik-taktik baharu pengamal rasuah?
Penjenayah kolar putih adalah orang yang berpelajaran dan baik dalam ilmu teknologi informasi.

Suapan rasuah kini kurang menggunakan pemindahan wang antara bank atau tunai, sebaliknya menggunakan transaksi mata wang kripto. Mata wang kripto ini menampilkan sistem atau kaedah kerahsiaan.

Transaksi mata wang kripto berkenaan tidak mempunyai jejak wang atau ‘money trail’ memandangkan konsep kaedah berkenaan adalah kerahsiaan.

Antara lain ia dapat menyukarkan pihak berkuasa melakukan pengesanan, sekali gus pembuktian tentang suapan rasuah itu menjadi sukar. Hal ini kerana, bukti transaksi tidak diselia kawal oleh suatu badan pusat.

Dalam masa lima ke 10 tahun lagi, kaedah ini akan berleluasa. Jadi, aktiviti pencegahan pun tidak boleh ditakuk lama.
SPRM perlu melihat kepada bagaimana sistem tadbir urus yang ada sekarang agar relevan dengan perubahan masa dan teknologi.

Satu perkara lagi, peruntukan perundangan sedia ada tidak merujuk kepada penggunaan kripto dalam rasuah kerana mata wang itu adalah teknologi baharu.

Gejala rasuah berlaku di mana-mana. Bagaimanapun, ia lebih sinonim dengan kakitangan kerajaan. Apakah yang menyebabkan perkara ini berlaku, adakah disebabkan gaji rendah?
Gaji rendah bukan penyebab seseorang itu terlibat rasuah. Lihat saja orang kaya dan bekas menteri yang ditangkap SPRM, mereka semua sedia maklum sudah kaya.

Dalam ilmu kriminologi ia dikenali sebagai ‘hedonistic’. Mengikut Fraud Diamond Theory, ada empat sebab bagaimana rasuah boleh berlaku.
Jika lihat kepada tangkapan SPRM pada tahun 2015-2020, 47 peratus adalah kakitangan kerajaan.

Majoritinya adalah kakitangan bawahan. Isunya, pemberi rasuah kebanyakannya daripada kalangan orang swasta dan orang ramai.

Terdapat beberapa sebab seseorang itu melakukan rasuah. Antaranya, mereka memikirkan peluang yang ada di depan mata, ada jalan untuk melakukan rasuah dengan percaya bahawa risiko rendah ditangkap, kelemahan kawalan dalaman serta kerenah birokrasi yang menjadikan urusan lambat.

Faktor lain adalah desakan hidup. Dalam kajian ACFE Report to Nation 2024, ingin hidup mewah antara punca terlibat dalam rasuah.

Seterusnya aspek kemampuan. Ia terjadi apabila seseorang individu tersebut mempunyai pangkat, kuasa yang semakin besar serta pengetahuan dan ego. Individu itu akan menggunakan peluang yang ada untuk manfaat mereka sendiri.

Kadang-kadang, ada individu tahu kes rasuah. Namun, dia takut untuk melaporkannya kerana ia melibatkan orang atasan. Jadi, dia pilih untuk berdiam saja. Adakah tindakan ini betul?
Jika ikut Seksyen 25 (10) Akta SPRM 2009, adalah menjadi kesalahan jika sekiranya seseorang tahu termasuk ketua yang mengamalkan rasuah dan ia perlu dilaporkan.

Ia boleh dikenakan penjara selama 10 tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam kajian Global Corruption Barometer 2017, 15 peratus masyarakat Malaysia tidak dan enggan melaporkan kes rasuah kerana takut balasan, 12 peratus kata tiada apa yang akan dilakukan atau tiada tindakan dan 10 peratus kata tidak tahu di mana hendak dilaporkan.

Secara kesimpulannya, kenapa kes rasuah di Malaysia sukar untuk dihapuskan?
Tiada satu kajian saintifik untuk mencari punca sebenarnya ‘root cause’ masalah rasuah di Malaysia.

Adakah ia disebabkan oleh cara kita dibesarkan, cara kita bergaul atau sistem pelajaran yang ibu bapa terapkan kepada anak-anak mereka?

Kita juga harus melihat dengan siapa kita berkawan termasuk ketika berada di pejabat.

Perdana Menteri sekarang juga dilihat mempunyai iltizam tinggi dalam menentang gejala rasuah. Akhir sekali, jangan takut dengan SPRM jika kita tidak bersalah, tetapi takutlah kepada Tuhan sebagai Maha Pencipta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN