DALAM kemeriahan sambutan Syawal tahun ini, ramai penduduk sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Melaka ditimpa dugaan banjir kilat sehingga rumah dan kereta ditelenggami air.
Baru sahaja berhabis duit pulang ke kampung serta membeli barang dapur bagi persiapan raya, barangan rumah pula rosak kerana arus air yang deras.
Paling mencuri perhatian penulis beberapa video tular yang memaparkan lebih 15 kenderaan termasuk motosikal dan kereta ditelenggami air di Kolej Vokasional Sungai Buloh.
Paling meruntun perkongsian seorang pelajar memaparkan kereta Perodua Alza miliknya yang habis rosak akibat ditelenggami banjir.
“Dahlah bukan datang dari keluarga yang senang. Masa keluar-keluar kelas tengok kereta dah tenggelam, hanya mampu senyum je. Dahlah tak ambil insuran bencana alam.
“Rasa ralat juga sebab pengawal keselamatan tak maklum dekat semua pelajar. Tak tahu nak cari mana duit dalam keadaan masih pelajar lagi, kalau boleh memang tak nak susahkan ibu bapa sebab banyak dah berbelanja masa persiapan hari raya,” katanya.
Sebelum ini Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan ribut petir, angin kencang dan hujan lebat di 10 negeri pada hari kelapan Syawal sehingga beberapa kawasan khususnya Sungai Buloh, Kampung Melayu Subang, Shah Alam dan Klang dinaiki air.
Bukan itu sahaja, bencana alam ini turut memaksa peniaga-peniaga yang terkesan untuk menangguhkan pembukaan operasi kedai setelah bercuti lama pada musim Aidilfitri.
Seorang pemilik kedai makan di Meru Klang, Selangor, Salim Bahari, 64, berkata, dia tidak dapat menahan kesedihan apabila kedai yang beroperasi sejak 2022 itu ditelenggami air sehingga paras pinggang selepas hujan sejak Selasa, sehari sebelum raya.
Ujarnya, kos kerugian dianggarkan kira-kira RM20,000 ekoran 50 peratus pekakas dapur, peralatan elektrik dan bahan-bahan mentah yang baru dibeli rosak.
“Kami tutup kedai hampir dua minggu sebab pulang beraya ke Kedah. Jadi bila buka balik ini, ingat nak ‘cover’ semasa Ramadan dan sepanjang kami bercuti. Tapi tidak sangka ditimpa dugaan sebegini. Sedih memang sedih, tapi kami reda.
“Alhamdulillah pada Khamis (18 April), air mula surut walaupun bukan sepenuhnya. Kami baru nak mula kemas-kemas. Setakat ini peti ais tidak dapat diselamatkan sebab air sudah masuk ke motornya. Kami berserah kepada Allah atas dugaan ni,” katanya.
Selain itu, kebanyakan mangsa banjir khususnya ibu bapa sudah mulai risau dan berkira-kira apabila baki perbelanjaan yang tinggal hanya cukup-cukup makan untuk menampung kehidupan seharian sehingga dapat gaji.
Bagi penulis, walaupun bencana alam adalah sesuatu yang tidak dapat dijangka, pihak berkuasa tempatan atau pemaju perumahan perlu sentiasa cakna dan mengambil peduli dengan keadaan semasa sistem saliran di kawasan-kawasan ‘hot spot’.
Tragedi ini dapat dielakkan sekiranya longkang dan parit di kawasan pentadbiran diselenggara secara sistematik sebagai langkah segera untuk mengelak berlakunya banjir kilat lebih-lebih lagi di kawasan berulang.















