fbpx

Jurutera JKR dituduh bersubahat perdaya kelulusan yuran latihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadziyani dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar atas pertuduhan bersubahat memperdaya berkaitan yuran latihan di sebuah kem tentera, enam tahun lalu.

ALOR SETAR – Seorang penjawat awam wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan bersubahat memperdaya berkaitan yuran latihan di sebuah kem tentera sebanyak RM19,950, enam tahun lalu.

Tertuduh, Fadziyani Mohamed, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Mengikut pertuduhan, Fadziyani sebagai Ketua Unit Tentera Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah yang berkhidmat di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani bersubahat dengan seorang pengurus syarikat untuk memperdayakan seorang Pembantu Akaun Jabatan Akauntan Negara Malaysia Kedah pada 31 Mei 2018.

Dia dituduh memperdaya lelaki terbabit bagi meluluskan yuran perkhidmatan Kursus Latihan Kakitangan Kursus Pemasangan Penyaman di kem berkenaan bernilai RM19,950 kepada Syarikat Genius Intellect Services Sdn. Bhd.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Mohd. Zulfadli Azharudin mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama.

Hakim kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin selain pasportnya diserahkan kepada mahkamah dan juga perlu melaporkan diri setiap bulan sebelum 15 haribulan di pejabat SPRM terdekat.

Hakim menetapkan 20 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI