fbpx

‘Saya dah tegur, mungkin tiada tindakan tegas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dzulkefly menyampaikan duit raya kepada dua kanak-kanak pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kuala Selangor, hari ini.

KUALA SELANGOR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) aktiviti luar bilik darjah sekolah di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kematian seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun ketika menyertai aktiviti merentas desa kelmarin perlu dijadikan iktibar bagi mewujudkan satu SOP yang lebih tuntas.

“Saya pada awal sudah menegur perkara ini, namun mungkin tidak ada satu tindakan yang tegas, tuntas dan jelas.

“Bagi saya, perlu ada satu SOP yang jelas mengenainya. Saya yakin Menteri (Fadhlina Sidek) dan Pengarah Jabatan Pendidikan akan meningkatkan penguatkuasaan mereka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kuala Selangor di Bandar Puncak Alam di sini, hari ini.

Kosmo! kelmarin melaporkan seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar di Gentam, di sini, disahkan meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai aktiviti merentas desa.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, Nuqman Naufal dikejarkan ke hospital dan diberikan rawatan, namun disahkan meninggal dunia kira-kira dua jam kemudian di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN).

Dalam pada itu, Dzulkefly yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Selangor meminta semua ibu bapa sentiasa memantau tahap kesihatan anak mereka.

“Jika ada yang mempunyai masalah kesihatan tertentu, mereka perlu memaklumkannya kepada pihak sekolah.

“Saya tahu mungkin ada pihak sekolah terlepas mengemas kini rekod kesihatan pelajar, namun saya yakin KPM akan menanganinya kelak,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI