fbpx

Wanita rugi RM131,500 ditipu ‘scammer’ menyamar pegawai polis IPK Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SEGAMAT – Seorang wanita kerugian RM131,500 selepas diperdaya ‘scammer’ yang menyamar sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan mendakwanya terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram pada bulan lalu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintenden Ng Swie Chait, pihaknya menerima aduan daripada wanita berkenaan yang berusia 52 tahun pada Rabu (semalam) mendakwa menjadi mangsa kepada penipuan dalam talian.

“Sekitar Mac lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai khidmat pelanggan Pos Laju dan memberitahu terdapat barang salah yang didaftarkan atas nama wanita berkenaan.

“Panggilan telefon itu kemudiannya disambungkan kepada IPK Perak bagi tujuan penyelesaian kes. Wanita itu telah berurusan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai polis dan mendakwa wanita itu mempunyai rekod jenayah dan terlibat dengan penggubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Swie Chait, mangsa kemudiannya disambungkan dengan panggilan seterusnya dan bercakap dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis dan menyatakan wanita itu dikenakan waran tangkap sekiranya tidak patuh arahannya.

“Mangsa diminta membuat laporan secara dalam talian dan diarahkan untuk mengikut segala arahan yang diberikan. Disebabkan mangsa takut dan panik, dia telah mengikut arahan suspek dengan mengeluarkan wang simpanan daripada akaun bank miliknya dan memindahkan wang tersebut ke dalam akaun bank lain yang diberikan suspek.

“Pada mulanya wanita itu merasa curiga, namun suspek memberikan alasan bahawa wang simpanan yang dipindahkan ke akaun bank tersebut adalah bertujuan untuk proses kemas kini dan pembersihan akaun bank miliknya.

“Suspek juga memberi alasan, pemilik kepada akaun bank yang menjadi destinasi kemasukan kewangan milik wanita berkenaan adalah merupakan juru audit yang terlibat dalam membantu menyelesaikan kes atas nama mangsa seperti yang didakwa,” katanya.

Katanya lagi, mangsa juga diminta melaporkan lokasi dan aktivitinya setiap satu sehingga dua jam kepada suspek melalui pesanan aplikasi WhatsApp.

Mangsa akhirnya sedar semua itu merupakan satu penipuan selepas menceritakan kejadian tersebut kepada suaminya sebelum membuat laporan polis.

Ujar Swie Chait, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga terutama dalam urusan melibatkan transaksi kewangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI