fbpx

Banjir besar 5 negara ragut ratusan nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video menunjukkan penduduk menolak kereta yang terkandas di jalan yang dinaiki air banjir di Dubai kelmarin. - AFP

DUBAI – Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menerima taburan hujan paling lebat dalam tempoh 75 tahun kelmarin, sehingga mengakibatkan banjir besar di beberapa kawasan negara itu terutamanya Dubai, lapor laman berita Gulf News.

Pusat Meteorologi Kebangsaan mengesahkan bahawa rekod hujan yang turun di UAE dalam tempoh 24 jam sehingga pukul 9 malam (waktu tempatan) kelmarin merupakan peristiwa luar biasa dalam sejarah iklim negara itu sejak data direkodkan pada 1949.

Rekod hujan tertinggi dicatatkan di kawasan Khatm Al Shakla di Al Ain, yang mencecah 254 milimeter dalam tempoh kurang daripada 24 jam.

Rakaman video tular di media sosial menunjukkan air mengalir melalui kawasan pusat beli-belah dan membanjiri tingkat bawah rumah meskipun UAE diketahui mempunyai iklim panas dan kering yang menyebabkan hujan jarang berlaku.

Klip-klip video yang dikongsikan orang ramai menunjukkan landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai digenangi air ketika pesawat-pesawat meredah banjir.

Jet-jet besar kelihatan seperti bot yang bergerak sehingga lapangan terbang itu terpaksa menghentikan operasi selama hampir setengah jam.

Hujan turun dengan lebat dan begitu cepat sehingga beberapa pemandu terpaksa meninggalkan kenderaan mereka apabila paras air meningkat, manakala jalan raya-jalan raya bertukar menjadi sungai, lapor stesen penyiaran CNN.

Sekurang-kurangnya satu kematian direkodkan apabila lelaki berusia 70 tahun dihanyutkan air ketika dia berada di dalam kereta di Ras Al-Khaimah, kata polis semalam.

Dalam pada itu, banjir turut melanda Oman dan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 18 orang setakat semalam, dengan kebanyakannya pelajar sekolah.

Ribut turut melanda Bahrain dan Qatar selepas melintasi Oman.

Dalam perkembangan berkaitan, sekurang-kurangnya 66 orang terkorban akibat hujan lebat dan banjir kilat di Afghanistan yang turut memusnahkan rumah, infrastruktur dan ladang di kebanyakan wilayah negara itu.

Akhbar Arab News melaporkan, ribut bermula minggu lalu menambah lagi cabaran yang dihadapi Afghanistan ketika ia sedang cuba untuk pulih daripada konflik berpuluh tahun dan bencana alam.

Kira-kira 23 daripada 34 buah wilayahnya dilanda banjir kilat sehingga merosakkan tanaman menjelang musim menuai sekali gus menjejaskan sumber makanan.

Pihak berkuasa persekutuan dan wilayah Pakistan pula melaporkan lebih 50 orang maut akibat hujan lebat, banjir kilat, petir, ribut dan tanah runtuh.

Kebanyakan kematian berlaku di wilayah Khyber Pakhtunkhwa yang bersempadan dengan Afghanistan dan wilayah Punjab di bahagian tengah negara itu. 

Pegawai-pegawai berkata, sekurang-kurangnya 42 orang terbunuh di kedua-dua wilayah itu, manakala ramai lagi cedera.

Sementara itu, di Afrika Timur, hujan lebat dan banjir di Tanzania telah mengorbankan sekurang-kurangnya 58 orang termasuk kanak-kanak sejak awal bulan ini, kata jurucakap kerajaan pada Ahad lalu.

“Dari 1 hingga 14 April 2024, terdapat 58 kematian akibat hujan lebat, yang membawa kepada banjir,” kata jurucakap kerajaan, Mobhare Matinyi pada taklimat akhbar. – AFP/AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI