PETALING JAYA – Lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes tembak di Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 1), Sepang Ahad lalu bukan sahaja seorang hafiz al-Quran, malah menuntut agama di sekolah pondok.
Hafizul Harawi, 38, merupakan bekas pelajar sekolah pondok di Repek, Pasir Mas, Kelantan. Dia yang berasal dari Selangor dan membesar di Kuala Lumpur itu juga mempunyai pengetahuan yang mendalam dan alim berkaitan agama.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, ujian yang dilakukan semalam mendapati, suspek fasih dengan ayat al-Quran dan merupakan seorang hafiz.
“Suspek yang ditahan di hadapan sebuah hospital swasta di Kota Bharu juga baru seminggu pulang dari Arab Saudi sebelum bertindak melepaskan tembakan sehingga pengawal peribadi isterinya cedera parah.
“Suspek pulang dari Arab Saudi dan terus Bangkok, Thailand sebelum masuk ke negara ini melalui Kelantan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan semalam.
Menurut Mohd. Shuhaily, ketika berada di Kelantan, dia membuat pemeriksaan kesihatan dan akan mengambil laporan di hospital tersebut.
“Jadi, dia sebenarnya sudah ada di sini sebelum kejadian tembakan,” katanya.














