fbpx

Kematian Zulfarhan: Rayuan hukuman penjara 18 tahun didengar 14 Mei ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar kenangan Allahyarham Zulfarhan bersama ibu dan bapanya

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan tiga hari bermula Mei ini bagi pendengaran rayuan pendakwaan terhadap hukuman penjara 18 tahun enam penuntut bekas Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili salah seorang penuntut selaku responden berkata tarikh-tarikh yang ditetapkan bagi pendengaran itu ialah 14, 15 dan 16 Mei ini.

“Pada hari sama, mahkamah juga akan mendengar rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap lima daripada enam bekas penuntut UPNM itu serta 12 rakannya kerana mencederakan Zulfarhan Osman,” katanya ketika ditemui selepas prosiding pengurusan kes.

Terdahulu semasa pada prosiding, Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai panel tiga hakim membenarkan permohonan pihak pendakwaan selaku perayu untuk memfailkan petisyen rayuan di luar tempoh masa.

Ia selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar memaklumkan tiada bantahan daripada pihak responden terhadap permohonan tersebut.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin.

Kesemua 18 bekas penuntut UPNM yang kini berusia 28 tahun itu hadir pada prosiding hari ini.

Pada 2 November 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut Universiti UPNM kerana didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali.

Ia apabila Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan hukuman mereka adalah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan selepas melihat kepada pertimbangan pelbagai aspek termasuk semua pihak terjejas terutama kesan dialami keluarga mangsa.

Selain hukuman penjara 18 tahun, lima penuntut itu kecuali Mohamad Shobirin turut dijatuhi hukuman penjara tiga tahun mengikut Seksyen 330 kerana mencederakan Zulfarhan yang mana hukuman berkuat kuasa serentak.

Sebelum ini keenam-enamnya menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara itu 12 lagi rakan mereka yang didapati bersalah mencederakan Zulfarhan yang didakwa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dijatuhi hukuman penjara tiga tahun.

Mereka ialah Mohd. Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan.

Namun Mahkamah Tinggi membenarkan penggantungan penjara hanya kepada 12 penuntut di bawah Seksyen 330 dengan jaminan denda RM7,000 dikekalkan.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka yang ketika kejadian berusia 21 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di dalam dua bilik, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi pada 21 dan 22 Mei 2017.

Dalam kejadian menyayat hati itu, Zulfarhan kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI