fbpx

Dua scammer didakwa sogok pegawai kanan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi pegawai SPRM selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD / KOSMO!

MELAKA – Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memberi dan bersubahat menyogok pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan, tahun lalu.

Tertuduh, Teo Teck Qing, 26, dan Keong Kah Wai, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Teck Qing didakwa memberikan suapan wang tunai berjumlah RM60,000 kepada seorang pegawai kanan polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap dirinya dan rakan-rakan yang disyaki melakukan aktviti penipuan.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Ia mengikut hukuman di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Sementara itu, Kah Wai didakwa di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 17(b) dan Seksyen 24(1) akta yang sama kerana bersubahat dalam perlakuan kesalahan Teck Qing yang memberikan suapan kepada pegawai polis.

Kesemua kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 1.15 tengah hari di hadapan sebuah kedai serbaneka, Simpang Ampat dalam daerah Alor Gajah pada 1 Jun 2023.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan jaminan sebanyak RM80,000 bagi setiap tertuduh.

Beliau turut mencadangkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM Melaka dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Umar Zulkarnain yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu agar jumlah jaminan tersebut dapat dikurangkan.

Elesabet kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM40,000 dan RM30,000 masing-masing terhadap Teck Qing dan Kah Wai dengan seorang penjamin serta bersetuju dengan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.

Beliau turut menetapkan tarikh 21 Mei depan untuk pengurusan kes dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI