fbpx

Suspek tembak ustazah di KLIA ada rekod mencuri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shuhaily ketika sidang akhbar behubung kes tembakan di KLIA 1, tadi.

SEPANG – Polis mengesahkan suspek warga tempatan yang melepaskan dua das tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dua rekod jenayah adalah melibatkan Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan satu kes membabitkan Seksyen 380/170 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan menyamar sebagai penjawat awam.

Beliau berkata, mangsa iaitu isteri suspek sebelum ini membuat dua laporan polis di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah pada 2016 dan 2023.

“Mangsa telah membuat laporan sebelum ini mengikut Seksyen 506 iaitu ugutan jenayah (2016) dan terbaharu dibuat pada bulan Disember tahun lepas. Hasil laporan tersebut suspek telah ditangkap oleh polis dan kami menghantar kertas siasatan, namun ada beberapa arahan lain yang kita perlu laksanakan.

“Mengambil insiden terakhir itu, isteri mengambil keputusan untuk menggajikan pengawal peribadi,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 1.20 pagi tadi, seorang lelaki melepaskan tembakan terhadap isterinya menyebabkan seorang pengawal peribadi yang berada di Balai Ketibaan KLIA 1, di sini mengalami kecederaan parah.

Lelaki berkenaan telah melepaskan dua das tembakan namun salah satu daripadanya terkena seorang lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi.

Siasatan awal polis mendapati lelaki tersebut sebenarnya mahu melepaskan tembakan ke arah isterinya di lokasi berkenaan yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.

Dalam pada itu, Shuhaily berkata, kejadian seumpama ini tidak sepatutnya berlaku di lokasi tumpuan awam lebih-lebih lagi di pintu masuk utama negara.

Menurut beliau, kehadirannya ke KLIA juga bertujuan untuk menilai tahap keselamatan dan mengkaji keperluan untuk kawalan kesalamatan memeriksa pemilikan senjata yang dibawa mana-mana individu.

“Sebagaimana sedia maklum, kejadian sebegini bukan kali pertama di KLIA, namun untuk kawalan keselamatan lanjut, khusus dan terperinci (tentang keperluan periksa senjata) akan dikaji selepas ini.

“Kita akan menilai semula pengurusan keselamatan di lapangan terbang,” katanya.

Beliau pada masa sama menjamin tahap keselamatan di KLIA adalah selamat kerana motif kejadian adalah berunsur peribadi dan bukan sasaran awam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI