fbpx

Pemain terbaik mahu ke Piala Thomas – BAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA perlu memberi kata putus sebelum pendaftaran pemain untuk saingan Piala Thomas 2024 ditutup 13 April ini.

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih berharap perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia sudi menyertai skuad badminton lelaki negara menjelang saingan Piala Thomas di Chengdu, China bermula 27 April hingga 5 Mei depan.

Pada ketika ini, bekas juara kejohanan All England itu masih belum memberi kata putus sama ada akan beraksi ataupun tidak pada kejohanan dwitahunan tersebut kerana mahu memberikan tumpuan terhadap persediaan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria melaungkan keyakinan Zii Jia akan bersama pasukan ke Chengdu memandangkan setiap pemain terbaik dunia pastinya tidak mahu melepaskan peluang menabur bakti bersama negara.

“Saya rasa semua pemain yang berada dalam kelompok ranking tertinggi dunia pasti ada keinginan dan mahu bersama dengan pasukan, tidak kisah sama ada Zii Jia, Ng Tze Yong, Leong Jun Hao atau sesiapa sahaja.

“Kita mahu pasukan yang berkualiti dihantar ke sana kerana ia turut melambangkan maruah kita. Apabila pergi sebagai sebuah pasukan, kita bawa maruah negara dan ia perlu dipelihara,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini.

Justeru, Zii Jia perlu membuat keputusan dalam masa terdekat memandangkan pendaftaran pemain akan ditutup pada 13 April ini.

Tambah beliau, kebiasaannya mana-mana pemain berjuang bermati-matian untuk mewakili negara dan itulah yang diharapkan BAM daripada pemain-pemain negara menjelang Piala Thomas nanti.

Norza turut menjelaskan, meskipun Malaysia menghuni tangga kelima dunia ketika ini, namun kemampuan pemain-pemain negara tidak boleh dipertikai apabila masih mampu muncul naib juara pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) Februari lalu.

“Saya nak cakap macam ini, tidak ramai orang dapat peluang mewakili negara. Kalau di negara lain, pemain bermati-matian berjuang untuk negara kerana jasa anda akan dikenang seluruh rakyat.

“Itu tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Kita mampu melangkah ke final BATC sebelum ini apabila ada pemain yang diperlukan, jadi kita berada di landasan tepat sekiranya ada pemain yang ingin berjuang untuk negara,” ujarnya.

Sebagai rekod, Malaysia dijangka berdepan laluan berliku pada Piala Thomas nanti apabila diundi dalam Kumpulan D bersama Denmark, Hong Kong dan Algeria. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI