fbpx

Usaha menyelamat mangsa gempa diteruskan, angka kecederaan lepasi 1,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN bantuan kecemasan berkumpul di hadapan sebuah bangunan yang hampir runtuh akibat gempa bumi di Hualien kelmarin. - Foto AFP

TAIPEI – Bilangan mangsa yang cedera dalam bencana gempa bumi kuat bermagnitud 7.2 yang menggegarkan Taiwan meningkat melepasi 1,000 orang semalam walaupun angka kematian kekal sembilan, lapor portal berita Channel News Asia (CNA).

Seramai 38 pekerja yang sedang dalam perjalanan menuju ke sebuah hotel di taman negara di Taiwan masih hilang tetapi sejumlah mangsa lain ditemui berada dalam keadaan selamat.

Gempa bumi paling kuat dalam tempoh 25 tahun itu berlaku pagi kelmarin ketika orang ramai bersiap sedia untuk pergi ke tempat kerja dan sekolah.

Gegaran dikesan berpusat di daerah Hualien. Daerah di timur Taiwan itu sebahagian besarnya berada di kawasan luar bandar dan tidak mempunyai bilangan penduduk yang padat.

Bangunan-bangunan di Taipei turut bergoyang, bagaimanapun kerosakan dan gangguan yang berlaku di ibu kota Taiwan itu adalah minimum.

Jabatan Bomba Taiwan berkata, angka kecederaan terbaharu setakat tengah hari semalam mencecah 1,038 mangsa, manakala jumlah mangsa hilang pula ialah 52 orang.

Sekitar 12 pekerja hotel yang dalam perjalanan menuju ke sebuah resort di Taman Negara Taroko telah ditemui tetapi 38 lagi masih disenaraikan sebagai hilang.

Menurut pihak bomba, usaha menyelamat tertumpu kepada mangsa-mangsa yang terperangkap di sebuah lebuh raya rentas pulau yang merentasi sebuah gaung dan menghubungkan Hualien dengan pantai barat Taiwan.

Ia merupakan destinasi pelancongan popular di Taiwan.

Pihak berkuasa menggunakan sejumlah dron dan helikopter untuk mencari mangsa-mangsa yang terperangkap di dalam gaung dan akan menurunkan bekalan kepada mereka.

Semalam, sebuah helikopter digunakan untuk menyelamatkan enam orang yang terperangkap di kawasan perlombongan, kata jabatan bomba.

Laluan kereta api ke Hualien juga dibuka semula lebih awal daripada yang dijadualkan semalam walaupun sebuah stesen luar bandar di utara masih ditutup kerana kerosakan, kata pihak berkuasa kereta api.

Juga di bandar Hualien, semua mangsa yang terperangkap di dalam bangunan-bangunan rosak telah diselamatkan selepas gegaran berakhir.

Namun, sejumlah penduduk terpaksa bermalam di luar rumah masing-masing ketika berpuluh-puluh gegaran susulan menggegarkan Taiwan.

Seorang wanita yang memiliki nama keluarga Yu, 52, berkata, dia masuk ke dalam khemah di padang sukan untuk berlindung buat sementara waktu lewat kelmarin kerana terlalu takut untuk tidur di dalam apartmennya.

“Gempa susulan itu amat menakutkan. Ia tidak berhenti-henti. Saya tidak berani tidur di dalam rumah,” katanya.

Menurut sebuah agensi berita, gempa bumi kelmarin adalah yang paling kuat sejak gempa bermagnitud 7.6 yang menyebabkan seramai 2,400 orang terkorban dan merosakkan atau memusnahkan sebanyak 50,000 bangunan pada 1999.

Agensi meteorologi Taiwan menyatakan, keamatan gempa bumi di Hualien itu berada pada tahap kedua tertinggi pada skala antara 1 hingga 7.

Gempa seperti itu meruntuhkan dinding melainkan ia diperbuat daripada blok konkrit bertetulang, manakala orang ramai tidak boleh berdiri tegak dan mesti merangkak untuk bergerak, demikian menurut agensi kaji cuaca Jepun. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI