TOKYO – Gempa bumi kuat bermagnitud 7.4 menggegarkan utara Jepun hari ini, kata Agensi Meteorologi Jepun (JMA), mengeluarkan amaran tsunami untuk ombak tinggi hingga 3 meter (10 kaki).
Gempa itu melanda pukul 4.53 petang (waktu tempatan) di perairan Pasifik berhampiran wilayah Iwate, utara Jepun. Gegaran itu cukup kuat untuk menggoncang bangunan besar sehingga ke Tokyo pada jarak beratus-ratus kilometer.
Ombak tsunami paling awal boleh melanda pantai di utara Jepun dengan segera, kata JMA.
“Berpindah segera dari kawasan pantai dan tebing sungai ke tempat lebih selamat seperti tanah tinggi atau bangunan pemindahan,” katanya sambil memberi amaran bahawa kerosakan akibat ombak tsunami dijangka berlaku.
“Ombak tsunami dijangka melanda berulang kali. Jangan tinggalkan kawasan selamat sehingga amaran ditarik balik,” tambah JMA
Pejabat perdana menteri berkata, pihaknya telah menubuhkan pasukan pengurusan krisis.
Jepun adalah salah satu negara yang paling aktif dari segi seismik di dunia, terletak di atas empat plat tektonik utama di barat ‘Lingkaran Api’.
Kepulauan Jepun yang mempunyai kira-kira 125 juta penduduk, biasanya mengalami sekitar 1,500 gegaran setiap tahun dan menyumbang kira-kira 18 peratus daripada keseluruhan gempa bumi dunia. – AFP














