SEBAGAI salah satu bandar tertua di Malaysia, Muar memiliki warisan sejarah yang mempesonakan.
Namun, masih ramai tidak mengetahui bahawa Muar juga terkenal dengan gelaran ‘Bandar Perabot Malaysia’.
Ini kerana, 60 peratus daripada perabot tempatan yang dieksport ke luar negara dikeluarkan oleh bandar diraja Johor itu.
Oleh itu, tidak lengkap sekiranya orang ramai tidak singgah ke Muar Art Gallery untuk melihat sendiri galeri perabot sekiranya berkunjung ke Muar.
Galeri terletak di Taman Junid Perdana itu merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat perabot, SJY Furniture.
Menurut Pengasas Muar Art Gallery, Ken Lee, galeri yang mula beroperasi pada 2016 itu mempamerkan perabot hasil seni anak tempatan Muar.
“Galeri ini merupakan platform untuk anak seni Muar mempersembahkan produk mereka.
“Ada lebih daripada 700 syarikat yang bekerjasama dengan kami.
“Biarpun syarikat saya fokus kepada perabot rotan, namun terdapat pelbagai lagi perabot yang diperbuat daripada bahan lain di sini,” katanya kepada Horizon.
Untuk pengetahuan, ruang milik SJY Furniture mempamerkan seni perabot dengan reka bentuk unik sesuai untuk penggemar tatarias berkonsepkan santai.
Kebanyakan perabot diperbuat daripada rotan dan dihasilkan sendiri oleh anak tempatan.
Pada sebelah bawah, bilik pameran perabot terbuka disediakan untuk orang awam tanpa perlu membuat janji temu terlebih dahulu.
Lebih istimewa, bilik pameran perabot itu menyediakan konsep layan diri (self experience concept), sekali gus merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Ini bermaksud, ruang tersebut tidak memiliki staf dan pengunjung boleh mendapatkan maklumat menerusi kod QR disediakan.
Melangkah masuk ke dalam bilik pameran, pengunjung bakal disajikan dengan seni bina perabot minimalis.
Bilik pameran yang dikendalikan oleh Natural Signature MY boleh diakses sendiri dari pukul 9 pagi hingga 9 malam.
Bersebelahan bilik pameran adalah bengkel dikendalikan oleh Art Space.
Ruang tersebut sesuai buat pengunjung yang ingin meluangkan masa untuk mengasah kemahiran artistik mereka.
Uniknya, kayu-kayu di bengkel tersebut merupakan sisa lebihan kayu perabot dari kilang.
Muar Art Gallery juga memiliki ruang muzik di tingkat dua yang dikendalikan oleh Muar Viva Chorus Society.
Ruang tersebut menyediakan kelas muzik termasuk kompang yang dibayar secara bulanan.
Selain itu, pengunjung boleh menikmati makanan tempatan di kafe pada tingkat bawah.
Antara seni kulinari yang ditawarkan adalah sate, lontong, roti bakar dengan kaya, mi bandung dan kopi tempatan iaitu Kopi 434.
Bagi pengunjung yang mahukan pengalaman romantis, mereka boleh menikmati waktu senja sambil mendengar muzik di ruangan Sky Garden di bahagian atas galeri tersebut.
Ujar Ken, penambahan ruang-ruang lain di Muar Art Gallery membuatkan ia mesra pengunjung terutamanya mereka yang ingin melihat keindahan Muar menerusi pelbagai cabang seni berbeza.
“Kami berharap dapat mencetuskan rangsangan kepada lima deria iaitu rasa, dengar, sentuhan dan hidu sewaktu pengunjung mengunjungi galeri ini.
“Oleh itu, kami sediakan pelbagai aspek seni lain yang sesuai dengan latar belakang dan minat pengunjung berbeza,” jelasnya.















