PETALING JAYA – Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Presiden Terpilih Indonesia merangkap Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto di Perdana Putra, Putrajaya hari ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook beliau berkata, pertemuan tersebut merupakan sebahagian daripada rangka lawatan khas sehari Prabowo ke Malaysia.
“Momen ini kami gunakan untuk berkongsi pengalaman dan bertukar pendapat mengenai karier masing-masing dan hala tuju seterusnya dalam merapatkan lagi hubungan Malaysia-Indonesia.
“Perjalanan karier politik kami yang hampir sama apabila diuji dengan pelbagai cabaran sebelum dilantik, juga menjadi topik perbincangan santai selain diselang-seli dengan kisah Prabowo sewaktu beliau melanjutkan pelajaran dan pendidikan menengah di Victoria Institution (VI) Kuala Lumpur,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar sempat menitipkan ucapan tahniah dan selamat maju jaya ke Prabowo yang bakal dilantik sebagai Presiden Indonesia Kelapan.
“Semoga hubungan persahabatan Malaysia-Indonesia terus erat dan diperkukuh demi kebaikan bersama di masa hadapan,” katanya.
Lawatan khas sehari Prabowo ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia selepas diumum sebagai pemenang rasmi Pemilihan Presiden Indonesia bagi penggal 2024-2029. – KOSMO! ONLINE