BENTONG – Penumpang yang terselamat dalam kemalangan maut membabitkan sebuah bas persiaran di Kilometer 51.4, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) di sini semalam, mendakwa kenderaan tersebut dipandu laju sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan.
Muhammad Rafiq Qayyim Mohd Zaidi, 20, berkata, kejadian pada awal pagi itu berlaku cukup pantas ketika kebanyakan penumpang sedang tidur nyenyak.
“Ketika itu saya baharu sahaja terjaga dan merasakan bas seperti tergelincir sebelum dengar dentuman kuat.
“Situasi itu menyebabkan semua penumpang menjerit ketakutan selepas bas tersebut terseret di atas jalan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dakwa Muhammad Rafiq, dia hanya tersedar selepas kepalanya terhantuk pada lampu bas.

“Saya bergegas bangun dan mencari selipar serta beg, namun beg saya tersepit. Saya terpaksa tinggal barang yang lain dan segera keluar dari bas,” katanya.
Menurut pelajar pusat pengajian tinggi di Selangor itu, dia mengalami kecederaan ringan di bahagian lengan dan tangan kanan serta belakang.
“Kejadian berlaku ketika saya bersama seorang rakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Kuantan.
“Ini adalah kali pertama saya menggunakan perkhidmatan bas ini dan saya tidak sangka kejadian seperti ini berlaku,” katanya.

Sementara itu, seorang pelancong England dikenali sebagai David berkata, dia berasa bertuah apabila hanya mengalami kecederaan ringan pada kaki.
“Saya baru dua hari di negara ini dan tidak sangka berdepan kejadian seperti ini. Ketika itu, saya sedang tidur sebelum tercampak keluar dari bas.













