fbpx

12 bas ekspres kena saman tiada pemandu kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara bas ekspres yang ditahan dalam operasi di Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sultan Abdul Halim Mua'zam Shah, malam tadi.

GEORGE TOWN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan saman terhadap 12 buah bas ekspres selepas didapati tiada mempunyai pemandu kedua menerusi operasi yang dijalankan, malam tadi.

Jurucakap JPJ berkata, operasi yang menyasarkan bas ekspres itu dijalankan selama enam jam bermula pukul 12 tengah malam tadi di dua lokasi iaitu Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sultan Abdul Halim Mua’zam Shah.

“Tindakan saman ini dikenakan kerana pemeriksaan mendapati bas-bas berkenaan tidak mempunyai pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer (km) atau perjalanan selama empat jam secara berterusan.

“Operasi penguatkuasaan ini dijalankan bagi memastikan semua kenderaan perkhidmatan awam terutamanya bas ekspres mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan,” katanya di sini, hari ini.

Menurut jurucakap JPJ, operasi itu juga dijalankan bagi memastikan bas dalam keadaan baik dan selamat digunakan, pemandu mempunyai lesen memandu  dan lesen memandu kenderaan perkhidmatan awam (PSV) yang sah.

“Ia juga untuk memastikan pengusaha bas menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan bas jauh atau lama menerusi pemeriksaan buku log pemandu,” katanya.

Tambahnya, tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap pemandu dan pemilik yang tidak mematuhi peraturan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-kaedah di bawahnya serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI