fbpx

Pemuda UMNO sokong tindakan MB Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Onn Hafiz ketika melawat kaunter-kaunter di Tambak Johor, Ahad lalu. Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI.

PETALING JAYA – Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh menyatakan sokongannya kepada Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi kerana menegur kakitangan Jabatan Imigresen di Tambak Johor, Isnin lalu.

Akmal Saleh berkata, tindakan menularkan isu 13 kaunter laluan kereta di Tambak Johor yang ditutup pada Ahad lalu adalah perlu untuk mengejutkan pihak-pihak bertanggungjawab daripada ‘lamunan mimpi’.

Katanya juga, rakyat Johor sudah sedia maklum kegigihan Onn Hafiz untuk turun padang sendiri tidak kira masa untuk melihat dan menyelesaikan pelbagai isu yang membelenggu rakyat.

“Rakyat Johor semua tahu bagaimana kegigihan Menteri Besar Johor turun sama ada pagi, petang atau tengah malam untuk melihat sendiri.

“Bukan hanya sekali tetapi banyak kali sudah beliau (Onn Hafiz) turun malah masalah yang sama masih juga berlaku.

“Bila masalah yang sama masih juga berlaku, walaupun dah berulang kali dinyatakan maka sudah tentu perlu dikejutkan dengan kuasa ‘viral’ rakyat barulah menteri-menteri dan pegawai atasan ini tersedar daripada lamunan mimpi,” tulisnya dalam kenyataan di Facebook.

Isnin lalu, Onn Hafiz dalam satu hantaran di Facebook meluahkan rasa kecewa apabila 13 kaunter di laluan kereta di Tambak Johor tidak dibuka kepada orang ramai sehingga menyebabkan kesesakan sehari sebelum itu.

Beliau berkata perkembangan pengoperasian pintu sempadan negara di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) itu dilihat masih belum berada pada tahap kecekapan yang penuh.

Susulan itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Abdul Rahman Mohd Nordin menggesa sebarang teguran kepada penjawat awam perlu dibuat secara berhemah tanpa terlalu diuar-uarkan di media sosial.

Katanya, waktu lawatan Onn Hafiz ke Tambak Johor pada ketika itu adalah di luar waktu puncak manakala ada sebilangan kecil kaunter tutup kerana waktu pertukaran giliran pegawai rehat serta tugas pentadbiran lain.

Sehubungan itu, Akmal Saleh turut menyelar kenyataan itu dan meminta pihak Cuepacs untuk turun ke padang sendiri bagi melihat kesusahan rakyat di lapangan berbanding membuat dakwaan melulu semata-mata.

“Sebab tu penting bila jadi pemimpin turun ke bawah dengar dan lihat sendiri apa keluhan rakyat. Bukan hanya buat kenyataan di kerusi empuk dalam bilik aircond

“Kerana apa yang diatas kertas, selalunya tidak sama apa yang berlaku sebenarnya. Dalam isu ini,saya minta setiausaha Cuepacs turun sendiri melihat dan bukan hanya pandai buat kenyataan di kerusi empuk sahaja.

“Kita ini semua bekerja untuk memudahkan urusan rakyat, bukan menyusahkan mereka lagi. Teruskan Menteri Besar Johor, rakyat bersama anda,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI