fbpx

Mohd. Isa, bekas CEO FGV diperintah bayar lebih RM3.3juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Isa Samad

KUALA LUMPUR – Bekas pengerusi FGV Holdings Bhd. (FGV), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Mohd. Emir Mavani Abdullah diperintah untuk membayar ganti rugi lebih RM3.3 juta kepada syarikat terbabit.

Dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian itu, Mohd. Isa perlu membayar ganti rugi RM990,502 manakala Mohd. Emir pula membayar RM2,322,705.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Arief Emran Arifin memutuskan demikian selepas mendapati bahawa kedua-dua individu terbabit telah menyalahgunakan dua unit kondominium mewah Troika di Persiaran KLCC, penggunaan kereta dan faedah petrol syarikat.

Bagaimanapun, hakim tersebut turut memutuskan bahawa FGV gagal membuktikan bahawa pembelian unit-unit kondominium berharga RM12 juta (pada ketika itu) yang didakwa melebihi harga pasaran adalah salah.

Ini kerana pembelian tersebut dibuat sejajar dengan resolusi Ahli Lembaga Pengarah FGV.

FGV Holdings Berhad selaku plaintif menerusi kenyataan kepada Bursa Malaysia pada 30 November 2018, menjelaskan saman difailkan terhadap kedua-dua defendan itu adalah berhubung pembelian kondominium mewah di Troika, Persiaran KLCC oleh FGV dengan harga dikatakan melebihi pasaran.

Syarikat itu memaklumkan saman berkenaan juga berkaitan penyalahgunaan kenderaan syarikat dan faedah petrol oleh Mohd. Emir.

Justeru, FGV menuntut RM4.54 juta daripada kedua-dua defendan berhubung pembelian kondominium berkenaan dan RM3.15 juta daripada Mohd Emir atas dakwaan menyalahgunakan kenderaan syarikat serta faedah petrol, selain menuntut faedah pada kadar lima peratus setahun terhadap ganti rugi diberikan mulai dari tarikh pemfailan saman itu sehingga tarikh penyelesaian penuh dan muktamad.

Sebelum ini, pada 23 November 2018, FGV memfailkan saman ganti rugi mencecah RM514 juta terhadap 14 bekas pengarah termasuk Mohd. Isa dan Mohd. Emir berkaitan pemerolehan 100 peratus kepentingan dalam Asian Plantation Limited (APL) menerusi tawaran tunai sukarela bersyarat pada 2014. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI