fbpx

Lelaki Syria mengaku tidak salah rasuah polis RM400

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad dibawa anggota SPRM ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Seorang pekerja am warga Syria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan merasuah RM400 kepada anggota polis kerana tiada lesen kenderaan, dua minggu lalu.

Tertuduh, Ahmad M. Jamil Rukbi, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Arab di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Terdahulu, bapa kepada empat anak yang bekerja di sebuah syarikat perusahaan sejuk beku mengangguk faham akan pertuduhan dibacakan jurubahasa Syria selama tiga minit.

Ahmad didakwa secara rasuah menawarkan satu suapan wang RM400 kepada seorang anggota polis yang bertugas di Balai Polis USJ 8, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

Tawaran rasuah itu supaya tertuduh tidak dikenakan tindakan mengikut Seksyen 57 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tiada Lesen Vokasional Kenderaan.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Persiaran Kewajipan USJ 7, Subang Jaya, kira-kira pukul 9.25 pagi, 11 Mac lalu.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara
sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin tidak menawarkan kos ikat jamin kerana tertuduh merupakan warga asing dan didapati menetap lebih masa di negara ini.

Peguam S. Narasimhan yang mewakili Ahmad memohon kos jaminan kerana anak guamnya memasuki Malaysia secara sah dan turut berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) pada 2022.

“Selain itu, dia mempunyai tanggungan isteri dan empat anak di negara ini. Nilai bagi kes ini juga hanya RM400 dan saya berharap kos jaminan tidak dinafikan hanya kerana bukan warga negara,” katanya.

Anita bagaimanapun menolak permohonan pembelaan yang diminta supaya mengemukakan dokumen berkaitan UNHCR dan telah menetap lebih masa iaitu selama setahun tujuh bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Mei depan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI