fbpx

Menyamar polis samun pelabur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PORT DICKSON – Dua lelaki ditangkap kerana disyaki mempunyai kaitan dalam kes samun serta menyamar sebagai anggota polis, di kawasan PD Utama, di sini, 22 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa iaitu lelaki berusia 30 tahun kira-kira pukul 9 malam yang menyatakan dia telah disamun kira-kira pukul 4.30 petang.

Menurutnya, ketika mangsa bersama rakan sedang menunggu seorang lelaki bagi urusan pelaburan matawang, mangsa telah didatangi suspek iaitu dua lelaki dengan anggaran usia 30 hingga 40-an yang memperkenalkan diri sebagai polis dan mengarahkan mangsa mengikut suspek ke balai.

“Suspek telah membawa mangsa menaiki kenderaan milik mangsa ke Pasir Panjang dan di dalam perjalanan, mangsa telah diikat dan mata telah ditutup dengan menggunakan pita pelekat.

“Akibat daripada kejadian tersebut mangsa mengalami kerugian sebanyak RM10,000 melibatkan telefon bimbit dan komputer riba. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Aidi Sham lalu, susulan laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson telah membuat tangkapan terhadap suspek iaitu dua lelaki tempatan masing-masing di kawasan Telok Kemang dan Port Dickson pada pukul 12.05 tengah hari serta 1.45 tengah hari, 24 Mac lalu.

Menurut beliau, terdapat beberapa rampasan turut dilakukan di kawasan Lukut, Telok Kemang dan Port Dickson ke atas pakaian dan kenderaan yang digunakan dalam kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI