fbpx

Dadah Shah Alam mendarat di Kuching

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bungkusan dadah yang dirampas selepas tidak dituntut, yang dikirimkan menggunakan perkhidmatan kurier melalui penerbangan dari KLIA-LTAK.

KUCHING – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas sebanyak 24.4 kilogram Methamphetamine yang cuba diseludup masuk ke sini menggunakan perkhidmatan kurier melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

Pengarah Kastam Sarawak, Norizan Yahya berkata rampasan dadah bernilai RM872,000 itu dibuat pada 22 Mac lalu selepas dadah yang dibungkus menggunakan bungkusan makanan haiwan itu tidak dituntut, meskipun intipan dan penyamaran dilakukan bagi mengesan individu yang terbabit dengan sindiket tersebut.

Terdahulu, beliau berkata pihaknya mengesan dua bungkusan disyaki mengandungi dadah tiba di LTAK pada 18 Mac lalu dan berdasarkan nota penghantaran pada bungkusan itu, ia dihantar dari Shah Alam, Selangor kepada seorang wanita yang beralamat di sebuah pangsapuri di Taman Stapok, di sini.

Menjelas lanjut, katanya bungkusan tersebut dihantar ke Kuching menggunakan akaun perniagaan dalam talian terkemuka melalui laluan Shah Alam – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) – LTAK.

“Pasukan dari Cawangan Narkotik JKDM Sarawak telah melakukan pemantauan dan pemerhatian ke atas penghantaran dua bungkusan berkenaan yang dikendalikan oleh syarikat kurier, tetapi penerima enggan menerima bungkusan di lokasi alamat yang tertera pada nota penghantaran, sebaliknya meminta untuk membuat tuntutan melalui kaunter syarikat kurier berkenaan.

“Intipan dan penyamaran turut dilakukan selama empat hari di kaunter syarikat kurier terbabit, namun tiada individu yang tampil membuat tuntutan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norizan berkata, pihaknya telah menggerakkan usaha untuk mengesan individu yang berkaitan dengan rampasan tersebut dengan berpandukan kepada maklumat diperolehi daripada pengendali perkhidmatan kurier, penyedia perkhidmatan dalam talian, rekod telekomunikasi dan rekod perbankan individu-individu berkaitan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI