fbpx

Bekas pengurus pelanggan bank didakwa 80 pertuduhan berhubung jongkong emas lebih RM6 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Saibulrijal (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini. -Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengurus pelanggan sebuah bank didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 80 pertuduhan antaranya pecah amanah dan menipu jongkong emas pelbagai berat milik pelanggan berjumlah lebih RM6 juta, empat tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh Mohd. Saibulrijal Mohd. Saad, 46, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut 26 pertuduhan menipu, tertuduh didakwa menipu beberapa pegawai bank berkenaan dengan memperdayakan mereka untuk mempercayai beberapa pelanggan hendak mengeluarkan dan membeli jongkong emas menggunakan satu borang yang dikatakan ditandatangani pelanggan.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda.

Sementara itu, bagi 46 pertuduhan pemalsuan dokumen, tertuduh didakwa menggunakan dokumen tulen antara 15 Oktober 2019 hingga 13 Januari 2021 yang didakwa dibawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama.

Hukunan bagi seksyen itu membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, bagi tujuh pertuduhan, lelaki itu turut didakwa menyalahgunakan harta iaitu jongkong emas kepunyaan tiga wanita mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan .

Hukuman bagi seksyen itu membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi satu lagi pertuduhan pecah amanah, dia didakwa melakukan pecah amanah jenayah iaitu menyalah gunakan harta iaitu jongkong emas kepunyaan seorang wanita bergelar Datin yang didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan sebatan dan bolehlah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukandi bank berkenaan di Bangsar antara 15 Oktober 2019 hingga 24 Ogos 2021.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Zainal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Azrul kemudian membenarkan membenarkan tertuduh diikat jamin RM465,000 bagi kesemua pertuduhan kes dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan pasport perlu serah ke mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 April ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI