fbpx

Pusat beli-belah terkenal gajikan PATI digempur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian PATI yang ditahan menerusi Op Kutip di sebuah pusat beli-belah terkenal, di Jalan Imbi, hari ini.

KUALA LUMPUR – Seramai 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen (JIM) menerusi Op Kutip di sebuah pusat beli-belah terkenal di Jalan Imbi, di sini hari ini.

Dalam serbuan bermula pukul 2 petang itu, mereka yang berusia 20 hingga 45 tahun itu ditahan susulan aduan orang awam berhubung kewujudan PATI yang kerap menimbulkan rasa bimbang di kawasan terbabit.

Tinjauan Kosmo! mendapati terdapat beberapa warga asing cuba melarikan diri ketika dihampiri penguat kuasa.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embok Taha berkata, serbuan membabitkan premis perniagaan salun, kedai pakaian dan minyak wangi di aras dua dan tiga pusat beli-belah berkenaan.

Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita warga Indonesia, lapan lelaki (Bangladesh), seorang lelaki dan sembilan wanita (India), tiga lelaki dan 13 wanita (Myanmar) serta enam lelaki dan dua wanita (Pakistan).

“Kita juga ambil tindakan ke atas majikan tempatan yang menggajikan PATI melibatkan seorang lelaki dan tiga wanita di bawah Seksyen 55B, Akta Imigresen 1959/63,” katanya pada sidang akhbar Op Kutip, di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, kesemua PATI akan menjalani proses pengesahan di Ibu Pejabat JIM kerana kebanyakan mereka hanya memegang salinan dokumen.

“Kita akan minta majikan membawa dokumen perjalanan asal dan mereka yang melanggar syarat akan ditempatkan di Depot Imigresen Buki Jalil,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pusat beli-belah itu merupakan antara 20 lokasi tumpuan warga asing dan PATI di Kuala Lumpur.

“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba bersekongkol dalam usaha membanteras PATI di negara ini khususnya di ibu negara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI