fbpx

Malaysia kesal gencatan senjata oleh UNSC kali kesembilan masih gagal – Mohamad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SEREMBAN – Malaysia menerusi Wisma Putra meluahkan kekesalan serta kekecewaan apabila Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) masih gagal untuk melaksanakan gencatan senjata dalam perang berterusan Israel di Gaza.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kegagalan itu merupakan percubaan kali kesembilan dalam tempoh dua bulan untuk mengadakan gencatan senjata dan juga untuk membenarkan rakyat Palestin pulang ke tanah air mereka.

Malah menurut beliau, Malaysia tetap membawa suara tegas untuk memastikan sekurang-kurangnya dihentikan terlebih dahulu pembunuhan beramai-ramai di Palestin yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan itu.

“Saya kesal dan kecewa kerana UNSC sekali lagi gagal dua hari lepas untuk membuat resolusi iaitu untuk mengadakan gencatan senjata dan juga untuk supaya rakyat Palestin dapat balik ke tanah air mereka.

“Malaysia membawa suara tegas, sekurang-kurangnya kita nak supaya hentikan dahulu pembunuhan yang tak berperikemanusiaan, kanak-kanak, wanita yang tidak berdosa, hospital di bom, sekolah di bom, masjid di bom, gereja dibom, kampung halaman di bom.

“Dikumpulkan orang-orang Palestin di Rafah. Mereka kata Rafah kawasan selamat dulu, orang di utara Gaza pergi ke arah selatan tetapi sekarang bila dah berkumpul 1.5 juta orang di situ, di situ pula di bom,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika ditemui sempena Majlis Penyampaian Bakul Makanan sempena Ramadan di Masjid Kampung Seliau, di Rantau, hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, resolusi yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat (AS) dilihat tidak menyeluruh, malah pihak tersebut menggunakan peluang menggelar Hamas sebagai pengganas.

Menurut beliau, resolusi yang dicadangkan oleh AS itu tidak mendapat persetujuan daripada Russia, China dan sebuah lagi negara kerana terdapat beberapa perkara yang tidak menyentuh isu tersebut secara menyeluruh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI